Kuala Lumpur, 20 Januari 2024, 12:00 – PENERBIT dan pengarah filem kontroversi, “Mentega Terbang,” telah mengaku tidak bersalah di dua Mahkamah Majistret berasingan pada hari Rabu.
Tan Meng Kheng, 37, dan Mohd Khairianwar Jailani, 32, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Noorelynna Hanim Abd Halim dan Aina Azahra Arifin.
Menurut pertuduhan, Meng Kheng dan Mohd Khairianwar, yang juga penulis skrip filem itu, didakwa sengaja melukakan perasaan agama orang lain melalui perkataan dan visual. Kesalahan tersebut dilaporkan berlaku di sebuah kondominium di Jalan Semarak Api 2 pada jam 12.34 tengah hari pada 26 Februari 2023.
Kedua-dua tertuduh menghadapi dakwaan di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama setahun, atau denda, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Aling, mencadangkan ikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin untuk setiap tertuduh, serta perintah larangan suara mengenai intipati kes ini.
Beliau menyatakan keinginan agar prosiding kes dijalankan di mahkamah untuk mengelakkan perbincangan masyarakat di laman sosial yang boleh mengganggu proses perundangan.
Namun, peguam, N Surendran, yang mewakili kedua-dua tertuduh, membantah cadangan tersebut dengan menyatakan bahawa ikat jamin yang dicadangkan terlalu tinggi.
“Saya juga tidak bersetuju dengan perintah larangan untuk membuat sebarang kenyataan kerana syarat itu tidak asas mengikut bidang kuasa mahkamah,” katanya.
Setelah mendengar hujah dari kedua-dua pihak, Mahkamah memutuskan untuk memberikan ikat jamin RM6,000 kepada Mohd Khairianwar dan RM6,500 kepada Tan Meng Kheng, masing-masing dengan seorang penjamin. Syarat tambahan termasuk melapor diri di balai polis setiap bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Kedua-dua tertuduh juga dilarang mengeluarkan kenyataan berkaitan kes sehingga kes tersebut dilupuskan. Tarikh sebutan semula kes telah ditetapkan pada 14 Mac depan.
Sebelum ini, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengumumkan penamatan tayangan filem “Mentega Terbang” dari platform penstriman Viu pada 27 Februari tahun lalu.
SKMM menjelaskan bahawa walaupun tidak memiliki kuasa menapis filem dan drama televisyen, suruhanjaya tersebut sudah menghubungi Viu sebelum mengesahkan penamatan filem tersebut.
Pembikinannya dikatakan menyentuh perbezaan dan persamaan agama-agama utama di Malaysia, telah mendapat kritikan orang ramai dan penggiat seni.
Filem Mentega Terbang arahan Mohd Khairi Anwar Jailani ini diterbitkan Anomalist Production dan Meng Kheng Entertainment dengan menampilkan pelakon Syumaila Salihin, Firdaus Karim, Nik Waheeda, Arjun Thanaraju, Khairunazwan Rodzy, Shyamala Kandapper dan Jesebel Lee.
Ditayangkan menerusi platform penstriman, filem berdurasi 104 minit itu mengisahkan ‘konflik keagamaan’ yang dihadapi seorang remaja beragama Islam bernama Aisyah, yang mempelajari agama lain terutama dalam mencari jawapan kepada persoalan hidup selepas mati.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mendapati filem itu secara jelas bertentangan dengan akidah dan cara kehidupan umat Islam di Malaysia yang beraliran Mazhab Syafie.
Kedua-dua penerbit dan pengarah mendakwa bahawa tindakan tersebut adalah satu langkah tidak rasional yang melanggar kebebasan bersuara dalam Perlembagaan Persekutuan.
#PrezCom
Baca lebih banyak artikle di sini :>