
Kuala Lumpur, 18 Januari 2024, 12:00 – POLIS Johor tidak menolak kemungkinan individu yang terlibat dalam kejadian pembakaran Masjid Kampung Parit Simis dan Surau Parit Bangas di Sri Medan, dekat Batu Pahat, adalah orang yang sama.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat, mengungkapkan bahawa hasil siasatan awal menunjukkan modus operandi suspek dalam kedua-dua kes tersebut hampir serupa.
Menurut beliau, waktu kejadian, cara suspek menceroboh masuk ke rumah ibadat, dan cara melakukan khianat semuanya menunjukkan persamaan.
“Waktu dia, cara dia masuk, dan cara dia lakukan khianat itu, semuanya sama. Kita percaya suspek kedua-dua kes ini orang yang sama,” ujar Datuk Kamarul Zaman Mamat dalam sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Polis Kontinjen Johor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor.
Turut hadir dalam majlis tersebut adalah Timbalan Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner M Kumar. Datuk Kamarul Zaman mengulas perkembangan siasatan mengenai insiden pembakaran Masjid Kampung Parit Simis dan Surau Parit Bangas yang berlaku pada Ahad lalu dan kelmarin di Sri Medan.
Beliau turut meminta kerjasama orang ramai untuk memberi ruang dan peluang kepada pihak polis dalam menjalankan siasatan lanjut terhadap kedua-dua kes tersebut.
“Semalam, kita sudah memanggil pihak Kadi Daerah untuk mencari jalan penyelesaian termasuk untuk mengenal pasti suspek. Dalam masa terdekat, kita percaya akan dapat maklumat dan boleh mengesan suspek. Kita teruskan siasatan berdasarkan kes ceroboh dan khianat dengan api,” jelasnya.
Surau Parit Bangas dilaporkan terbakar pada pukul 10 malam, menyebabkan permaidani, perabot, dan penghawa dingin musnah. Kejadian hampir serupa berlaku terhadap Masjid Kampung Parit Simis, Ahad lalu.
Kedua-dua insiden itu disedari oleh seorang penduduk yang melalui kawasan tersebut, dan dengan bantuan penduduk berhampiran, kebakaran berjaya dipadamkan dalam tempoh 15 minit.
Manakala, Masjid Kampung Simis di Sri Medan musnah 50 peratus dalam kebakaran tengah malam Ahad. Komander Operasi dari Balai Bomba Penyelamat (BBP) Yong Peng, Pegawai Bomba Kanan II, Mohd Hafiz Othman, menyatakan bahawa kebakaran melibatkan separuh daripada keluasan masjid 80×80 persegi tersebut telah berjaya dipadamkan oleh orang awam. Kejadian ini juga menyebabkan kerugian empat unit penyaman udara, dua kipas dinding, mimbar khutbah, dan permaidani masjid.
Pihak berkuasa meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini untuk menyampaikan kepada balai polis berhampiran atau menghubungi Ketua Balai Polis Sri Medan di talian 07-4850222.
#PrezCom
Baca lebih banyak artikle di sini :>