Kuala Lumpur, 16 Januari 2024
Menteri Perpaduan Negara, YB Datuk Aaron Ago Dagang hari ini mengeluarkan kenyataan media mengucapkan Selamat Hari Thaiponggal kepada seluruh komuniti Tamil yang menyambutnya di Malaysia bersemperna bulan menuai hasil tanaman padi.
Bagi masyarakat Tamil di Malaysia, pesta menuai Ponggal bukan sekadar perayaan agama tetapi juga merangkumi perayaan yang dinanti-nantikan terutama bagi golongan petani. Ponggal dalam bahasa Tamil bererti “melimpah-ruah atupun ‘meluap-luap.”
Perayaan Ponggal diraikan selama empat (4) hari dan jatuh pada bulan ke-10 kalender Tamil. Ponggal secara unik mengikut kalender suria iaitu mengikut pergerakan matahari ke arah utara selama enam (6) bulan. Pada tahun ini hari pertama sambutan Ponggal adalah pada hari Isnin (15 Jan) yang dimulakan dengan sambutan ‘Bhogi’ iaitu sehari yang dikhususkan introspeksi dengan ritual membakar barangan rumah lama dan barang-barang lusuh yang sudah tidak digunakan lagi sebelum matahari terbit sebagai melambangkan penghapusan sikap negatif dan bermulanya kitaran baharu.
Hari kedua Ponggal dipanggil ‘Thai Ponggal’ iaitu hari yang dikhusuakan kepada Dewa Matahari. Sepertimana maksud Ponggal iaitu meluap-luap ia menggambarkan hasil tuaian yang banyak. Apabila susu sedang mendidih ahli keluarga akan berkumpul di sekitar periuk dan melaungkan ucapan ‘Pongal-Pongal’. Sorakan ini dibuat sebagai melambangkan kelimpahan dan kemakmuran.
Hari ketiga Ponggal pula di panggil ‘Mattu Ponggal’ iaitu dan dikhususkan kepada binatang ternakan iaitu sebagai berterima kasih kepada haiwan seperti lembu yang bukan sahaja berkongsi susu kepada manusia tetapi juga membantu petani didalam aktiviti pertanian. Haiwan seperti lembu akan diwarnakan tanduknya dan dihiasi dengan logam bersinar.
Hari terakhir Ponggal atau hari keempat (4) di panggil ‘Kaanum Ponggal’ iaitu hari yang dikhaskan kepada gadis-gadis yang belum berumahtangga untuk membuat Ponggal dan berdoa bagi mendapat suami yang baik. Pada hari ini juga ahli-ahli keluarga yang lebih muda akan memberikan penghormatan kepada yang lebih tua bagi mendapatkan restu.
Ponggal merupakan perayaan kedua terbesar selepas Deepavali bagi penganut agama Hindu yang secara tradisi ditasbihkan kepada Dewa Surya (matahari) sebagai tanda berterima kasih untuk hasil tuaian yang baik.
Malaysia adalah sebuah negara yang kaya dengan pelbagai agama, bangsa, ras dan budaya. Justeru perayaan Ponggal bukan asing di negara kita dan seperti mana hari-hari perayaan yang lain rakyat Malaysia menjadikan hari perayaan sebagai wardah bagi megeratkan perpaduan dan persefahaman antara satu dan yang lain.
Ponggal Vaalthukal
#PrezCom