Kuala Lumpur, 18 Januari 2024, 16:00 – PELAKON terkenal, Dynas Mokhtar, 41, baru-baru ini berputih mata apabila hampir semua wang simpanan peribadinya hilang dari akaun banknya beberapa hari lalu.
Dynas, atau nama sebenarnya Wan Intan Edrinas Wan Mokhtar, merasa terkejut apabila mendapati beberapa transaksi pelbagai mata wang asing telah berlaku selepas dia memeriksa penyata bank.
“Beberapa hari lalu, saya habis penggambaran dan pulang ke rumah. Ketika mahu membayar gaji pembantu peribadi, saya menyedari hampir semua wang dalam bank sudah tiada.
“Saya ada kad debit tapi tak pernah ada kad kredit. Saya fikir, okaylah kad debit selamat sebab kita tak berhutang. Saya periksa penyata saya dan ada transaksi daripada pelbagai mata wang lain,” katanya.
Dynas, yang telah membuat laporan polis di Balai Polis Brickfields, mengungkapkan hasratnya untuk mendapatkan semula wang yang hilang tersebut.
“Saya tak boleh dedah lebih lanjut sebab siasatan sedang berjalan. Saya ada buat laporan polis dan ada ramai orang membantu saya. Doakan saya dapat semula wang saya, insya-Allah,” katanya.
Polis telah mengesahkan bahawa sejumlah RM29,313 milik Dynas Mokhtar hilang melalui 11 transaksi yang dilakukan tanpa keizinan beliau pada tarikh 8 hingga 12 Januari lalu.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor, menjelaskan bahawa Dynas menyedari kehilangan wang tersebut semasa membuat semakan penyata akaun pada Sabtu lepas.
“Mangsa membuat laporan polis dan menafikan memberikan butiran peribadi perbankan kepada mana-mana pihak. Dia juga menafikan memberikan kata laluan sekali pun kepada mana-mana pihak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Amihizam menasihatkan orang ramai untuk tidak membuat spekulasi berkaitan kes ini dan menyatakan bahawa siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Jenayah Komputer 1997 (Capaian Tanpa Kuasa).
Dynas turut memberi nasihat kepada orang ramai agar lebih berhati-hati ketika menggunakan kad debit.
“Teknologi semakin moden tapi semakin merunsingkan. Saya tak reti nak jelaskan hal ini tapi saya cuma mahu kamu berwaspada. Saya tak tahu mana lagi atau bagaimana, apa yang selamat. Kita menuju zaman ‘cashless’, semuanya dalam talian tapi adakah ia selamat?” katanya.
Bagi sesiapa yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah atau aktiviti mencurigakan, boleh menyampaikannya kepada Hotline Polis Brickfields di talian 03-22979222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21460584/0585.
#PrezCom
Baca lebih banyak artikle di sini :>
Kes Bakar Masjid, Surau Di Batu Pahat Dipercayai Dilakukan Orang Sama