Bil RM2 juta

 

Kuala Lumpur, 16 Januari 2024, 12:00 – BADAN Pengurusan Bersama (JMB) Pangsapuri Kos Rendah Bandar Tasik Selatan 1 menghadapi cabaran besar apabila Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengeluarkan notis pemotongan bekalan elektrik disebabkan tunggakan pembayaran yang mencapai RM2.02 juta sejak tahun 2023.

Penduduk pangsapuri terbabit kini berdepan risiko pemotongan bekalan elektrik yang boleh memberi impak serius terhadap bekalan air, fungsi lif, dan lampu koridor.

Pihak JMB telah mengemukakan rayuan kepada TNB untuk menangguhkan pemotongan bekalan elektrik yang dijadualkan pada 17 Januari ini.

Katanya, tunggakan bil elektrik membabitkan lima blok di pangsapuri terbabit kini mencecah RM2.02 juta ringgit sejak 2023 menyebabkan pihak TNB mengemukakan tuntutan kepada syarikat pemaju, baru-baru ini, untuk menyelesaikan tunggakan itu.

“Dalam rundingan bersama pihak TNB dan pemaju sebelum notis pemotongan dikeluarkan, pihak TNB menuntut syarikat pemaju menyelesaikan sekurang-kurangnya 10 peratus (RM200,000) daripada jumlah keseluruhan tunggakan, namun pihak JMB tidak mempunyai wang sebanyak itu.

“Kini, pihak TNB mengeluarkan notis pemotongan bekalan elektrik kerana kita tidak mampu buat pembayaran dan isu ini berlaku kerana kutipan yuran penyelenggaraan tidak mencukupi untuk menampung jumlah diminta,” katanya.

Terdapat ketidakseimbangan antara kutipan yuran penyelenggaraan yang ditetapkan pada RM50 untuk kediaman membabitkan 1,440 unit kediaman di lima blok di sini dan sekiranya semua unit tidak culas membayar yuran berkenaan, ia hanya mampu mengumpul RM72,000.

JMB menghadapi kesulitan untuk menampung keperluan pembayaran gaji staf pengurusan, pekerja penyelenggaraan, dan pembersihan. Situasi ini telah menyebabkan lima lif di pangsapuri mengalami kerosakan, dengan hanya satu lif berfungsi di setiap blok.

Mengenai tuduhan ada pihak dalam pengurusan JMB menyelewengkan wang JMB, beliau berkata tuduhan itu amat berat, sehubungan itu pihaknya membuat satu laporan polis di Balai Polis Sungai Besi, di sini, semalam.

Bagaimanapun, JMB menafikan tuduhan penyelewengan wang yang dilakukan oleh pihak pengurusan. Mereka mengakui kesulitan dalam menyelesaikan tunggakan yang telah wujud sejak pengurusan baharu JMB mengambil alih tugas pada 2018.

Kes ini melibatkan 17 aduan polis dari penduduk yang tidak puas hati dengan isu tunggakan bil elektrik yang melibatkan jumlah besar.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, menyatakan bahawa siasatan sedang dijalankan berikutan aduan penduduk.

Beliau berkata, aduan pertama diterima daripada seorang penduduk berusia 35 tahun pada Khamis lalu selepas mendapati terdapat notis pemotongan elektrik oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) di semua lima blok A hingga E yang dikatakan mempunyai tunggakan bil hampir RM2 juta.

“Pengadu mendakwa tiada pembayaran dibuat sejak 31 Januari 2022 sedangkan penduduk membuat bayaran yuran penyelenggaraan RM50 sebulan bagi setiap unit rumah kepada pihak JMB.

“Ekoran tunggakan itu, pengadu mengesyaki terdapat penyelewengan wang oleh pengerusi JMB, seterusnya membuat laporan polis,” katanya.

Beliau juga menegaskan bahawa isu ini telah dilaporkan kepada Pesuruhjaya Bangunan (COB) Kuala Lumpur dan kini dalam proses tindakan susulan.

“Kes ini diklasifikasikan sebagai ‘Refer Other Agency (ROA) kepada COB memandangkan kes menjurus kepada bidang kuasa pesuruhjaya itu.

“Ia membabitkan kesalahan membabitkan Seksyen 140 Akta Pengurusan Strata 2013 berhubung kesalahan oleh pertubuhan perbadanan,” katanya.

Isu tunggakan bil elektrik ini juga, katanya sudah didedahkan kepada penduduk pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) kali ke-7 pada 5 Ogos 2023 dan ketika itu terdapat tunggakan hampir RM700,000 sehingga tarikh 1 November 2020.

Jelas beliau, pihak pemaju tidak bersalah dalam isu ini dan pihak JMB bertanggungjawab sepenuhnya, namun isu tunggakan bil elektrik ini sukar diselesaikan kerana pihaknya tidak mempunyai dana mencukupi buat masa ini.

Sehubungan itu, katanya pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan pihak TNB pada Isnin ini untuk membuat rayuan terakhir untuk pihak TNB menangguhkan tarikh pemotongan bekalan elektrik yang boleh menjejaskan lebih 7,000 penduduk di pangsapuri itu.

#PrezCom

 

Baca lebih banyak artikle di sini :>

’Kami Sudah Mandi’ UMS Bina 6 Telaga Tiub