Kuala Lumpur,12 Januari 2024, 5.00 petang – SERING timbul di fikiran ramai apabila berbicara tentang arena hiburan di mana-mana sahaja. Baik di Singapura, seberang Tambak, Indonesia, K-Wood (Korea), Bollywood (India) atau Hollywood. Untuk menjadi popular atau lebih glamour, adalah keinginan dan usaha masing-masing. Namun, jika terlebih sensasi ia hanya akan tambah toksin di dalam dunia hiburan.

Apa erti dunia hiburan kalau kurang sensasi, tidak menggemparkan dan semuanya baik-baik sahaja tanpa ada perkara yang memeranjatkan? Namun, dengan adanya pelbagai wadah media sosial seperti TikTok, Instagram dan Facebook ia menghangatkan lagi dunia hiburan.

Kalau ada berita tak baik atau komen yang tajam mula tular sehingga meracuni pemikiran ramai, ia dianggap ‘toksin’ yang mampu membinasakan artis terbabit dan industri hiburan secara menyeluruh. Mengapa ia harus dibiar sarat ‘toksin’ dalam bentuk kecaman dan berita negatif yang memburukkan lagi dunia yang kian lelah kerana banyak kontroversi yang tidak perlu berlaku dan tersebar?

Tidak lama dahulu, video Datuk Seri Siti Nurhaliza dalam konsert jelajah Asia, David Foster & Friends Asia Tour, di Teater The Star, dikongsi di Facebook dan Instagram. Ada yang kata sebutan bahasa Inggeris Tok Ti tidak jelas dan patah perkataan kurang sempurna.

Ada yang mengatakan David Foster harus panggil penyanyi lain yang jauh lebih baik penguasaan bahasa Inggerisnya.  Pendek kata, ada sahaja yang tidak kena. Ada yang pernah bertanya kepada Datuk Seri Siti Nurhaliza adakah beliau pernah tersinggung dengan komen-komen dan kritikan yang agak pedas dari penonton dan pendengar mengenai mutu nyanyian beliau malam itu?

Namun jawapan beliau mudah sahaja. Beliau berpendirian kerana sudah lama dalam industri, komen yang tidak membina dan tidak perlu abaikan sahaja lantas tidak perlu pening-peningkan kepala memikirkannya.

Banyak kisah artis murung kerana tidak tahan dengan tekanan dunia siber. Sebab dunia hiburan yang negatif boleh membawa pada kesan yang tidak diinginkan. Beberapa laman hiburan Korea sempat menyorot kesan populariti artis dan juga sikap terlalu menilai warganet yang membawa pada kes bunuh diri.

Jeong Da Bin menggantung dirinya di tandas rumah pada usia 26 tahun sekitar 2007 apabila popularitinya merudum dan beliau dikecam ramai dalam talian kerana cuba mengubah penampilannya.

Choi Jin Sil yang memenangi anugerah lakonan pula menamatkan nyawanya kerana terkesan dengan komen warganet tentang statusnya sebagai ibu tunggal dan didakwa merupakan orang ketiga dalam satu perhubungan dengan tokoh hiburan ternama.

Justeru, jangan sangka komen maya tidak berbahaya dan suka-suka sahaja. Awas, jika kata-kata yang dilontar di alam siber mampu bertukar menjadi racun yang membinasakan hidup artis dan dunia hiburan secara keseluruhan.

#PrezCom