Kuala Lumpur, 12 Januari 2024, 21:00 – BAHAGIAN Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memainkan peranan penting dalam menguatkuasakan undang-undang berkaitan dengan kawalan harga, antipencatutan, perlindungan pengguna, dan pencegahan pengubahan wang haram di Malaysia.

Sebagai agensi penguatkuasa, KPDN telah menjalankan pelbagai operasi bersepadu untuk menangani pelbagai kegiatan yang merugikan ekonomi dan keselamatan negara.

Pengubahan wang haram merupakan isu serius yang memerlukan tindakan tegas. KPDN tidak hanya melibatkan diri dalam penguatkuasaan undang-undang tetapi juga bekerjasama dengan agensi lain, termasuk Polis Diraja Malaysia, Bank Negara Malaysia, dan CyberSecurity Malaysia.

Modus operandi yang sering digunakan oleh peniaga bagi mengubah wang haram adalah melalui beberapa kaedah.

Pertamanya menerusi secara langsung iaitu memasukkan hasil haram ke dalam akaun perniagaan atau individu yang dicampur aduk dengan hasil perniagaan sah.

Keduanya secara penstrukturan iaitu dengan memasukkan ke dalam akaun perniagaan-perniagaan atau individu lain, mewujudkan shell company, membeli aset atau membuat pelaburan, membayar pinjaman, insuran dan lain-lain.

Ketiganya adalah menerusi ‘hawala’ iaitu sistem penghantaran wang tanpa melalui lingkungan sistem perbankan atau syarikat kewangan berlesen yang melibatkan rentas sempadan.

Selama tahun 2023, beberapa operasi bersepadu yang berjaya dilaksanakan termasuk OPS REWARD, OPS TIRIS, dan OPS PHARMA.

OPS REWARD

Operasi ini dilaksanakan untuk membanteras aktiviti skim piramid dan kejahatan kewangan lain.

KPDN bekerjasama dengan Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional, Bank Negara Malaysia, Polis Diraja Malaysia, dan CyberSecurity Malaysia di Pulau Pinang dan Kedah.

OPS TIRIS

Berfokus pada penyelewengan minyak diesel bersubsidi, OPS TIRIS dilaksanakan untuk memastikan bekalan minyak diesel sampai kepada pihak yang layak.

KPDN berkolaborasi dengan pelbagai agensi penguatkuasaan termasuk Polis Diraja Malaysia, APMM, ATM, LHDN, dan NFCC.

OPS PHARMA

Operasi ini melibatkan pelbagai agensi seperti Kementerian Kesihatan Malaysia, Lembaga Hasil Dalam Negeri, dan Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional. Tujuannya adalah untuk menangani pelanggaran dalam bidang farmasi dan kawalan dadah.

Selama tahun 2023, Bahagian Penguat Kuasa KPDN telah berjaya menyelesaikan kes-kes dengan nilai kompaun sebanyak RM1,715,053.00 dan melucuthakkan harta alih bernilai RM137,517.69. Sejumlah RM1,852,570.69 telah berjaya dipulihkan untuk dijadikan hasil Kerajaan Malaysia.

Keseluruhan nilai pembekuan bagi tahun 2023 adalah sebanyak RM21,217,979.11.

Secara keseluruhan, sejak tahun 2016 hingga 2023, KPDN telah berjaya melucuthakkan harta bernilai RM56,628,198.30, mengenakan kompaun sebanyak RM2,419,053.00, dan denda sebanyak RM12,000,000.00. Hasil keseluruhan bagi Kerajaan Malaysia menerusi penguatkuasaan Akta 613 adalah sebanyak RM71,047,251.30.

Namun, KPDN menghadapi cabaran seperti penggunaan transaksi tunai, mule account, dan penglibatan badan profesional dalam aktiviti pengubahan wang haram.

Cabaran masa depan juga termasuk penggunaan matawang kripto yang bukan sah di Malaysia. Untuk mengatasi ini, Bahagian Penguat Kuasa KPDN akan terus memperkasakan penguatkuasaan Akta 613 dan bekerjasama dengan agensi lain bagi meningkatkan keberkesanan operasi pencegahan pengubahan wang haram di Malaysia.

Bahagian ini akan terus bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan termasuklah kerjasama dengan Jabatan Peguam Negara, lain bagi tujuan perkongsian latihan, maklumat risikan dan operasi.

KPDN jua selaku agensi penguatkuasaan yang menganggotai Kumpulan Kerja Jawatankuasa Penyelaras Pencegahan Pengubahan Wang Haram Kebangsaan (NCC) akan melaksanakan segala Pelan Tindakan yang berkaitan bagi mencapai sasaran yang ditetapkan.

#PrezCom

 

Baca lebih banyak artikle di sini :>

Pertumbuhan Ekonomi Negara Dan Taraf Hidup Rakyat