
Kuala Lumpur, 4 Januari 2024, 17:00 – PELBAGAI inisiatif dan insentif bakal dinikmati rakyat tahun ini seperti dibentangkan dalam Belanjawan 2024 yang memberi tumpuan kepada melonjakkan pertumbuhan ekonomi negara dan meningkatkan taraf hidup rakyat.
Menurut Pakar Geostrategi, Profesor Dr. Azmi Hassan, Sumbangan Tunai Rahmah (STR) adalah salah satu insentif utama yang memberi manfaat kepada rakyat.
“Rakyat pada ketika ini memerlukan wang tunai untuk berbelanja (apabila menerima STR) barangan keperluan mereka sebab itu saya lihat STR adalah insentif paling efektif, sekali gus selari dengan tema Belanjawan 2024 dalam memperkasakan rakyat.
“Daripada konteks memperkukuhkan ekonomi pula, apabila rakyat menerima STR maka mereka akan berbelanja sekali gus menjadikan permintaan kepada barangan dan kitaran ekonomi lebih baik dan sihat,” katanya.
Dalam Belanjawan 2024, kadar maksimum bantuan STR dinaikkan kepada RM3,700 berbanding RM3,100 sebelumnya, manakala kadar minimum bagi golongan belia turut meningkat dari RM350 kepada RM500.
Menurut Profesor Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid dari UniKL Business School, Belanjawan 2024 menumpukan polisi fiskal kerajaan untuk meningkatkan ekonomi domestik dan mencapai pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) antara empat hingga lima peratus pada tahun ini.
“Jadi Belanjawan 2024 disusun adalah untuk menumpukan pertumbuhan ekonomi domestik seperti menyalurkan bantuan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dan bantuan menangani kos sara hidup rakyat antaranya melalui penyaluran bantuan tunai yang akan memberikan suntikan ekonomi secara langsung kepada ekonomi domestik,” katanya.
Pelaksanaan subsidi yang bersasar melalui Pangkalan Data Utama (Padu) dianggap sebagai mekanisme yang dapat mengurangkan pembaziran dan memastikan bantuan disalurkan secara adil dan saksama kepada warganegara Malaysia yang layak menerimanya.
Pelaksanaan Padu yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bertujuan memastikan golongan sasar menikmati semua manfaat yang diperkenalkan oleh kerajaan.
Pelbagai insentif lain, termasuk Bayaran Insentif Awal Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam sejumlah RM2,000 kepada penjawat awam gred 56 ke bawah, termasuk lantikan kontrak. Bayaran insentif RM1,000 juga diberikan kepada Jawatan Utama Sektor Awam bagi anggota beruniform dan pesara kerajaan, termasuk veteran berpencen.
Kerajaan turut menetapkan yuran pendaftaran memasuki universiti awam tidak melebihi RM1,500 bermula bulan ini dan bagi pelajar yang tidak mampu membuat bayaran, mereka tidak akan disekat bagi mendaftar subjek setiap semester.
Golongan orang kurang upaya (OKU) juga terus dilindungi, antara lain kerajaan menyediakan RM1.2 bilion untuk disalurkan melalui pelbagai bentuk bantuan seperti penjagaan OKU kronik terlantar, OKU tidak upaya bekerja dan elaun pekerja OKU di bawah Belanjawan 2024.
#PrezCom
Baca lebih banyak artikle di sini :>
Pembaharuan lesen memandu, kenderaan melalui aplikasi MyJPJ bermula 1 Feb