Kuala Lumpur, 3 Januari 2024, 21:00 – ORANG ramai boleh memperbaharui cukai jalan kenderaan atau Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan Lesen Memandu Malaysia (LMM), menerusi aplikasi MyJPJ bermula Februari ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata pertambahan fungsi baharu berkenaan akan memudahkan orang awam memperbaharui LKM dan LMM secara digital selain menjimatkan masa dan kos serta dapat mengurangkan kesesakan urus niaga secara fizikal di kaunter-kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Beliau bagaimanapun berkata pelaksanaan urus niaga pembaharuan lesen melalui aplikasi ini akan dilaksanakan secara berfasa dengan peringkat permulaan hanya melibatkan kenderaan persendirian individu warganegara.
“Untuk menggalakkan penggunaan e-LMM, individu yang memilih Lesen Memandu Malaysia Digital (e-LMM) ketika pembaharuan akan menikmati rebat RM5, yang mana rebat ini akan dinikmati sepanjang tahun 2024 iaitu bermula 1 Februari hingga 31 Disember,”
Dalam pada itu, Anthony berkata, berdasarkan dapatan kajian dan analisa statistik sepanjang 2023, JPJ mendapati bilangan pemandu dan pemilik yang memilih digitalisasi semakin meningkat dengan 7.5 juta pengguna.
Bagaimanapun, bagi pemandu dan pemilik kenderaan yang masih belum bersedia sepanjang tempoh interim pendigitalan tahun 2024, mereka masih boleh memilih LKM dan LMM fizikal.
“Bagi tujuan penyesuaian dalam tempoh interim, JPJ Malaysia akan mengeluarkan LKM dan LMM fizikal berbentuk baharu dan diseragamkan dalam bentuk kertas keselamatan.
“Ia akan terus dilaksanakan selepas stok LKM dan LMM fizikal yang lama di cawangan-cawangan atau kiosk JPJ habis.
“LKM yang baharu ini tidak perlu dilekatkan atau dipamerkan pada cermin kenderaan seperti keperluan mengikut Seksyen 20(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 sebelum ini, sebaliknya ia disimpan mengikut kesesuaian orang awam.
“Kerajaan berharap inisiatif yang diumumkan pada hari ini adalah usaha MOT dan JPJ untuk mempermudahkan urusan pemilik LKM dan LMM seterusnya menyokong ke arah perkhidmatan pendigitalan yang terbaik kepada rakyat,” katanya.
Selain daripada itu MOT mengumumkan orang awam kini boleh membuat perkongsian Lesen Kenderaan Motor Digital (e-LKM) atau digital road tax menggunakan fungsi baharu iaitu ‘Kongsi LKM’ di aplikasi MyJPJ, bermula hari ini.
Melalui fungsi baharu itu pemilik kenderaan boleh berkongsi e-LKM kepada ahli keluarga, rakan-rakan atau individu lain yang dibenarkan oleh pemilik kenderaan.
“Pemilik hanya perlu klik nombor plat kenderaan dan seterusnya klik butang ‘Kongsi LKM’ untuk membuat perkongsian e-LKM kepada individu lain.
“Fungsi ini juga mempunyai tempoh had masa perkongsian yang boleh ditetapkan oleh pemilik kenderaan dan mempunyai kod pengaktifan yang perlu diberikan kepada penerima e-LKM tersebut untuk mengaktifkan perkongsian.
“Sistem juga akan menghapuskan rekod perkongsian sekiranya tidak diaktifkan dalam tempoh 24 jam,” katanya pada sidang media selepas mengadakan sesi lawatan ke JPJ Selangor di sini, hari ini.
Beliau berkata, fungsi baharu dalam aplikasi MyJPJ berkenaan dapat menyelesaikan persoalan apabila pengguna e-LKM memandu kenderaan bukan miliknya atau ahli keluarga.
Katanya, sebelum ini orang awam dibenarkan untuk mencetak e-LKM berkenaan bagaimanapun pelbagai persoalan timbul justeru, penambahbaikan dilaksanakan bagi memudahkan pengguna.
#PrezCom
Baca lebih banyak artikle di sini :>
KPM Arah Pihak Sekolah Buat Laporan Murid Lari Daripada Asrama Kerana Tidak Tahan Dibuli