Kuala Lumpur, 12 Januari 2024, 19:00 – BANGUNAN Panggung Istana Budaya, mercu tanda seni budaya Malaysia yang terkenal, akan ditutup mulai 15 Januari 2024 hingga 5 Januari 2026 untuk menjalani kerja-kerja penambahbaikan dan penyelenggaraan menyeluruh.
Keputusan penutupan ini telah diperakui oleh Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR), yang merupakan pengurus utama bangunan megah ini.
Tujuan utama penutupan ini adalah memberikan ruang yang mencukupi bagi pelaksanaan projek-projek peningkatan, terutama di kawasan bumbung Istana Budaya.
Pengurusan JKR yakin bahawa melalui langkah ini, Istana Budaya akan kembali bersinar dengan kemegahannya, memberi pengalaman seni yang lebih baik kepada penonton.
Walau bagaimanapun, peminat seni tidak perlu bimbang, kerana kemunculan semula Istana Budaya dijangka bersamaan dengan perasmian Tahun Melawat Malaysia 2026 (Visit Malaysia 2026).
Sebagai gantinya, Istana Budaya akan menganjurkan persembahan menerusi Kempen Gerak ke seluruh Malaysia.
Kempen ini bertujuan membawa pengalaman seni Istana Budaya ke pelusuk negara, memperkenalkan kepada masyarakat karya-karya unggul seperti Orkestra Tradisional Malaysia (OTM), Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK), dan Artistana.
Pengarah Istana Budaya, Encik Ahmad bin Mustafa, berkata, “Meskipun kita akan mengalami jeda untuk kerja-kerja penyelenggaraan, kami berusaha untuk tetap berkhidmat kepada masyarakat seni. Kempen Gerak ini adalah usaha kami untuk terus memberikan akses kepada seni berkualiti kepada seluruh rakyat Malaysia.”
Selama tempoh penutupan, Istana Budaya juga mengalu-alukan syarikat-syarikat tempatan dan penggiat seni untuk bekerjasama sebagai rakan strategik.
Ini memberi peluang kepada mereka untuk turut serta dalam usaha memartabatkan seni budaya negara di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Para peminat seni dijemput untuk terus memberikan sokongan mereka kepada Istana Budaya melalui Kempen Gerak, sambil menantikan detik pembukaan semula pada tahun 2026 yang dijangka akan menjadi suatu peristiwa seni yang mengujakan bagi semua.
#PrezCom
Baca lebih banyak artikle di sini :>