Kuala Lumpur, 11 Januari 2024. 11.00 malam – PEGAWAI Penyelidik Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Hatijah Hashim menegaskan, penggunaan tong air berwarna biru atau tong drum kitar semula oleh penduduk ketika berdepan gangguan bekalan air tidak selamat digunakan sebagai bekas simpanan air untuk penyediaan makanan atau minuman.
Ia dikhuatiri boleh mengancam kesihatan terutama bagi mereka yang mempunyai alahan. Menurutnya, ini kerana masih terdapat penyerapan sisa bahan kimia pada bekas itu meskipun ia sudah dibersihkan sebelum dijual kepada pengguna.
Air yang disimpan dalam tong ini tidak selamat digunakan, lebih-lebih lagi untuk diminum atau dimasak ketika gangguan bekalan air selama empat hari bermula hari pertama penyimpanan.
Tong plastik ini bukan gred yang disyorkan untuk simpanan air minuman dan tidak sesuai digunakan untuk peniaga makanan atau minuman.
Kita tidak tahu apakah bahan yang diisi di dalamnya sebelum ini. Hatijah memberitahu, dalam keadaan ‘darurat’, seeloknya air yang disimpan dalam tong isian 170 dan 200 liter itu digunakan sama ada untuk membersihkan diri tetapi tidak untuk minuman.
Apa yang membimbangkan trend penggunaannya berleluasa dikhuatiri akan menjejaskan kesihatan pengguna terutama masalah alahan kulit dan sebagainya.
Persatuan Pengguna Pulau Pinang menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) negeri memantau penjualan tong biru yang didakwa dijual pada harga yang tidak masuk akal.Minggu ini harganya naik dua kali ganda iaitu RM120 sebiji.
Sebelum ini, tong tanpa penutup dijual RM60 hingga RM65 (isian 200 liter). Tong isian 170 liter pula dijual RM170 sebiji berbanding RM70 hingga RM88 pada Disember lalu.
Peniaga mula ambil kesempatan kerana terdapat permintaan tinggi. Peningkatan harga itu turut dikesan berlaku di premis barangan plastik di negeri ini.
kira-kira 590,000 pengguna di Pulau Pinang akan mengalami gangguan bekalan air selama empat hari bermula 10 Januari iaitu semalam. Ini berikutan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) menjalankan kerja pembaikan paip segera di Loji Rawatan Air Sungai Dua.
#PrezCom