Ubat Batuk

 

Kuala Lumpur, 8 Januari 2024, 17:20 – KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah berjaya melaksanakan serbuan terhadap sebuah premis di Mantin, Negeri Sembilan, pada 15 Disember 2023, yang disyaki terlibat dalam pengeluaran produk ubat batuk tiruan.

Serbuan ini merupakan hasil kerjasama antara Penguat Kuasa KPDN Putrajaya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), dan Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC).

Serbuan tersebut dilakukan selepas tiga bulan risikan awal oleh pihak KKM berdasarkan aduan yang diterima.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN Azman Adam berkata dalam serbuan bersepadu itu, sejumlah 10,000 botol ubat batuk yang siap dibungkus dan 900 liter cecair disyaki ubat batuk di dalam mesin pengadun dirampas.

Turut dirampas ialah kenderaan dan beberapa peralatan lain yang digunakan untuk tujuan memproses ubat berkenaan.

“Semua bahan tersebut bersama beberapa dokumen perniagaan disita bagi tujuan siasatan.

“NIlai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM236,516,” katanya dalam kenyataan di Putrajaya malam tadi.

Azman berkata dua bangunan industri atau kilang di kawasan perindustrian ringan yang dijadikan tempat pemprosesan ubat batuk tiruan turut disita dengan nilai anggaran keseluruhan sebanyak RM2.6 juta.

“Susulan serbuan itu, sebanyak 56 akaun turut dibekukan melibatkan sembilan entiti dengan empat daripadanya merupakan akaun syarikat, manakala selebihnya lima akaun individu dengan keseluruhannya berjumlah RM10.68 juta,” katanya.

Seorang wanita tempatan berumur 38 tahun telah ditahan untuk membantu siasatan, dan beliau mengaku bertanggungjawab terhadap premis terbabit. Kesalahan yang mungkin dihadapinya ialah di bawah Akta Cap Dagangan 2019 [Akta 815].

Bagi pertubuhan perbadanan, denda boleh dikenakan hingga RM15,000.00 untuk setiap barang dengan cap dagangan palsu. Bagi individu atau kesalahan berulang, denda dan hukuman penjara mungkin dikenakan.

Selain itu, syarikat ini juga akan disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) [Akta 613], yang melibatkan pengubahan wang haram dan pelucuthak terhadap hasil pendapatan atau harta dari aktiviti haram penyelewengan berkaitan cap dagangan.

Kesalahan di bawah Akta 613 boleh menyebabkan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah hasil daripada aktiviti haram.

Kementerian Kesihatan Malaysia juga akan menjalankan siasatan lanjut di bawah Akta Racun 1952 [Akta 366]. Kesalahan di bawah Akta 366 boleh menyebabkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000.00 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya sekali.

KPDN menegaskan peringatan kepada semua pihak untuk tidak terlibat dalam aktiviti pengeluaran dan penjualan barang tanpa kelulusan atau kebenaran pemilik cap dagangan berdaftar, terutama dalam kes produk ubat-ubatan tiruan.

Pengguna juga dinasihatkan agar berhati-hati ketika membeli ubat-ubatan, baik secara fizikal dan dalam talian, untuk menghindari risiko kesihatan dan kerugian yang mungkin timbul akibat pembelian barang tiruan.

#PrezCom

Baca lebih banyak artikle di sini :>

Manfaat Pengurangan Pengambilan Garam