Hanyut Dalam Longkang

 

Kuala Lumpur, 8 Januari 2024, 21:00 – Dalam kejadian pagi tadi, dua wanita itu dihanyutkan arus deras selepas kereta yang dinaiki mereka terbabas lalu jatuh ke dalam longkang.

Video kejadian berdurasi 15 saat yang tular itu menunjukkan insiden itu dipercayai berlaku di Jalan Bukit Samsu, Jalan Kota Tinggi-Mersing, di sini. Dalam rakaman itu, seorang wanita dipercayai pemandu kereta berpaut pada Perodua Myvi berwarna kelabu yang dihanyutkan arus deras longkang terbabit.

Kemudian, dua lelaki kelihatan cuba membantu menyelamatkan mangsa dengan salah seorang daripada lelaki terbabit bertindak pantas menarik wanita berkenaan dan mereka dilaporkan selamat.

“Saya tidak berfikir panjang untuk terjun menyelamatkan wanita itu ketika melihat mereka dihanyutkan air deras (longkang),” kata kontraktor, Choo Ngiam Choong, 50-an.

Choo berkata, dia masih tidak dapat melupakan detik menyelamatkan wanita itu selepas kenderaan dinaiki mangsa terbabas dan terjatuh ke longkang di Kilometer 42.5, Jalan Johor Bahru-Mersing, dekat Kota Tinggi, 9 pagi tadi.

Menurutnya, ketika kejadian dia dalam perjalanan dari Kota Tinggi ke Mawai sebelum melihat rakannya yang memandu di laluan sama menghentikan kenderaan.

Katanya, sebaik keluar dari kenderaan, dia terkejut apabila mendapati sebuah kereta hanyut di longkang itu dan mendapati ada wanita turut dihanyutkan arus deras.

“Seorang wanita (rakan mangsa) sempat menyelamatkan diri manakala wanita itu hanyut dan boleh lemas.

“Saya gembira dapat menyelamatkan wanita itu dalam tempoh kurang lima saat bagi mengelakkannya ditimpa kejadian tidak diingini,” katanya ketika dihubungi, tadi.

Anak ke sepuluh daripada 12 beradik yang berasal dari Kota Tinggi berkata, dia bersyukur tidak mengalami sebarang kecederaan ketika membantu wanita berkenaan.

“Saya memang pandai berenang. Saya bersyukur memiliki stamina yang bagus untuk membantu mangsa itu.

“Wang ringgit masih boleh dicari namun sekiranya nyawa melayang, tiada galang gantinya,” katanya.

Sementara itu, rakan Choo, Oh Lee Heng, 50, berkata dia bangga dengan niat Choo membantu mangsa yang dihanyut.

“Dia tidak mempedulikan keselamatannya ketika itu sebaliknya hanya mementingkan nyawa mangsa.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Superintendan Hussin Zamora dilaporkan berkata, dalam kejadian 9 pagi tadi, kereta jenis Perodua Myvi dinaiki kedua-dua wanita berusia 37 dan 43 tahun itu dipercayai hilang kawalan, lalu terbabas ke dalam longkang sebelah kanan menghala ke Kota Tinggi.

Polis mengesahkan telah menerima satu laporan berkenaan kemalangan yang berlaku itu.

“Pemandu dan penumpang wanita berjaya diselamatkan orang awam selepas kenderaan tersebut dihanyutkan arus air yang deras,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Menurut Hussin, pemandu kereta berusia 37 tahun tidak cedera, namun penumpang berusia 43 tahun dirawat di Hospital Kota Tinggi sebagai pesakit luar kerana cedera ringan.

“Kes disiasat di bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59). Siasatan lanjut masih lagi diteruskan bagi memastikan punca sebenar kejadian,” katanya.

#PrezCom

Baca lebih banyak artikle di sini :>

Kilang proses ubat batuk tiruan diserbu