Tukar Milik Tanah Kerajaan Kepada Tanah Persendirian

Kuala Lumpur, 6 Januari 2024, 9.00 – SATU sumber mendedahkan kepada sebuah akhbar tempatan, dua pengurusan tertinggi di sebuah syarikat peranginan terkemuka direman oleh Suruhan Jaya Pencengahan Rasuah Malaysia (SPRM) kelmarin dipercayai bagi membantu siasatan berhubung penukaran plot tanah milik kerajaan kepada hak milik persendirian.

Turut dipanggil oleh SPRM adalah kakitangan tiga agensi kerajaan dan SPRM juga telah mengambil keterangan daripada 18 individu bagi membantu siasatan kes.

Satu sumber mendedahkan, pembinaan jalan dilakukan di atas tanah rizab milik kerajaan yang sudah ditukar hak milik kepada sebuah syarikat yang mengoperasikan sebuah pusat peranginan terkemuka di sebuah lokasi di Pahang.

Terdapat bayaran tertentu dibuat oleh syarikat berkenaan kepada agensi kerajaan yang terlibat dan proses pertukaran hak milik itu dipercayai dilakukan secara tergesa-gesa.

Menurut sumber, tanah rizab itu sepatutnya untuk binaan jalan sebagai laluan utama ke pusat peranginan terbabit dan diberikan kepada syarikat itu atas tujuan  pembangunan.

Berikutan kejadian tersebut, SPRM  memohon perintah reman ke atas  dua individu masing-masing berusia 67 dan 52 tahun di Mahkamah Putrajaya, semalam bagi membantu siasatan pindaan hak milik tanah itu.

Kedua-dua individu yang memegang jawatan tertinggi syarikat peranginan  itu telah direman empat hari bermula semalam sehingga Ahad ini. Menurut sumber itu, siasatan dilakukan SPRM di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

Baru-baru ini, tular gambar pemasangan struktur di jalan berkenaan menuju ke sebuah pusat peranginan terkemuka sekali gus mendapat perhatian warganet yang membuat spekulasi berkemungkinan plaza tol bakal dibangunkan di situ.

Dalam satu kenyataan berkata, ia bukan jalan yang diwartakan sebagai jalan Persekutuan sebaliknya, ia adalah jalan persendirian dan tiada kaitan dengan mana-mana lebuh raya bertol di sekitar kawasan itu.

 

#PrezCom