Haram Hukumnya Menggunakan Sperma Suami Yang Telah Meninggal Dunia

Kuala Lumpur, 6 Januari 2024, 6.00 petang – PEJABAT Mufti Wilayah Persekutuan (WP) dalam satu kenyataan, haram hukumnya bagi seorang balu beragama Islam menggunakan air mani suami yang sudah meninggal dunia bagi tujuan menghasilkan bayi tabung uji. Ini kerana hubungan perkahwinan tamat apabila suami sudah meninggal dunia.

Oleh itu, benih lelaki yang disimpan sebelum kematian tidak boleh digunakan oleh isteri untuk tujuan persenyawaan dan kehamilan.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-5 yang bersidang pada 16-17 November 1982 dan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-6 yang bersidang pada 10 Oktober 1983 telah membincangkan mengenai bayi tabung uji.

Muzakarah berkenaan telah memutuskan bahawa bayi tabung uji dari benih suami isteri yang dicantumkan secara ‘terhormat’ adalah sah di sisi Islam.

Sebaliknya, benih yang diambil dari bukan suami isteri yang sah bayi tabung itu adalah tidak sah. perkara tersebut telah disebut menerusi kenyataan yang dikongsikan di laman sesawang pejabat tersebut.

Sebelum itu, terdapat satu soalan dimana sepasang suami isteri menyimpan tujuh tabung sperma untuk bayi tabung uji. Tanpa disangka tiba-tiba suaminya meninggal dunia.

Kaedah bayi tabung uji yang diharamkan ialah menggunakan air mani suami yang disimpan Bank Sperma kemudian digunakan oleh isteri selepas kematian suami untuk tujuan kehamilan.

Pejabat Mufti WP. dalam kenyataan itu turut menjelaskan bayi yang dilahirkan melalui tabung uji dicantumkan secara ‘terhormat’ boleh menjadi wali dan berhak menerima harta pusaka dari keluarga yang berhak.

Ini kerana hubungan perkahwinan tamat dengan kematian. Justeru apabila berlaku persenyawaan maka itu berlaku dengan benih bukan suami, lalu jadilah ia nutfah yang diharamkan. Persenyawaan jenis ini adalah haram secara qatI sama ada dilakukan secara in-vitro (luar rahim) atau in-vivo (dalam rahim).

Pejabat Mufti WP berkata berdasarkan kenyataan demikian, pihaknya bersetuju pendapat mengenai tabung uji yang berisi air mani suami yang sudah meninggal dunia tidak boleh lagi digunakan dan hendaklah dihapuskan.

Perkara berkenaan adalah bersesuaian dengan pandangan hukum Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-1 yang bersidang pada 28-29 Januari 1981.

Dilaporkan seorang wanita Australia berusia 62 tahun akhirnya mendapat izin mahkamah untuk mengambil sperma suaminya yang sudah meninggal dunia.

wanita berkenaan berhasil meyakinkan hakim beliau dan suaminya mempertimbangkan untuk memiliki bayi sebelum pasangannya itu meninggal dunia walaupun diusia yang lanjut memandangkan kedua-dua anak mereka sudah meninggal sebelum itu.

#PrezCom