Kuala Lumpur, 3 Januari 2024, 17:30 – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah malam ini berkenan berangkat ke Majlis Tayangan Perdana Pendekar Awang Darah Indera Gajah di pawagam GSC, IOI City Mall.
Seri Paduka, yang diiringi Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dan Pengerusi Eksekutif serta Penerbit Studio Kembara Sdn Bhd, Abdul Rahman Mt Dali, meluangkan masa hampir dua jam menonton filem itu bersama barisan pelakon antaranya Fattah Amin, Nur Fazura Sharifuddin dan Nur Heliza Helmi dan ramai lagi.
Abdul Rahman pula menjunjung kasih di atas sudi perkenan Seri Paduka berangkat menyaksikan tayangan perdana sekuel filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan itu, yang juga diterbitkan oleh beliau.
“Sambil berhibur, diharap filem ini mampu meningkatkan rasa cinta kepada negara, hargai perjuangan tanah air dahulu kala dan kali ini, ia turut mengangkat peranan wanita dalam perjuangan mempertahan kedaulatan tanah air,” menurutnya dalam kenyataan sempena tayangan perdana itu.
Pada malam Tayangan Perdana ini juga, Abdul Rahman Mt Dali selaku penebit mengumumkan nama Saiful Reza Shukor dan Shaharudin Md Dali sebagai sutradara karya itu. Pengumuman dua nama pengarah itu sekali gus menjawab teka-teki pengganti pengarah asal iaitu Areel Abu Bakar yang digugurkan.
Beliau yakin pemilihan dua pengarah itu mampu memberikan hasil yang terbaik untuk filem tersebut dan mereka juga dibahagikan tugas mengikut kemahiran serta bidang yang berbeza.
“Sebenarnya tiada sebarang masalah, apabila melihat plot awal filem ini, kita merasakan ada beberapa perkara yang perlu diperbaiki. Ada sudut yang mungkin boleh menjejaskan produk akhir filem ini.
“Jadi disebabkan itu kami bertukar pengarah. Sebagai penerbit saya rasa filem ini perlu ditambah baik dalam pembikinan filem ini.
“Bagi menyiapkan filem ini Shaharudin memberi tumpuan kepada pembangunan skrip dan jalan cerita, manakala Saiful Reza pula fokus kepada babak aksi dan koreografi seperti yang anda tengok,” katanya.
Sebelum ini, filem tersebut mencetuskan kontroversi apabila Areel mendakwa khidmatnya tidak lagi diperlukan untuk menyelesaikan baki 10 peratus filem terbitan Studio Kembara Sdn Bhd. itu. Areel berkata, keputusan mengejut itu dibuat syarikat produksi terbabit tanpa perbincangan secara terperinci selepas perkhidmatannya ditamatkan.
Beliau memaklumkan filem tersebut sudah disiapkan hampir 90 peratus penggambaran dan meluahkan rasa kecewa dengan tindakan pihak terbabit. Mengulas mengenai perkara itu, Abdul Rahman menjelaskan hanya 35 peratus sahaja hasil kerja Areel digunakan dalam filem.
“Sebenarnya kita kira-kira visual yang telah disiapkan oleh Areel berdurasi lebih tiga hingga empat jam sebelum disunting.
“Daripada situ hanya 35 peratus sahaja kita gunakan. Sebahagian besar hasil akhir filem ini adalah hasil kerja Shaharudin dan Saiful Reza,”jelasnya.
Abdul Rahman turut memaklumkan, filem yang merupakan sekuel daripada Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan itu telah menelan kos sebanyak RM15 juta. Bagaimanapun, beliau menyasarkan jumlah penonton untuk filem terbabit seramai empat juta orang kerana kandungan filem itu memaparkan sejarah dan mesej yang bermanfaat buat yang menonton.
Sementara itu, Saiful Reza yang juga pengarah bersama mengakui banyak cabaran dan tanggungjawab yang perlu digalas apabila diberi tugas untuk menggantikan orang lain dalam filem tersebut.
“Memang agak mencabar. Saya cuba lakukan yang terbaik terutama dalam babak aksi yang berada di bawah arahan saya.
“Babak drama dan lain-lain saya akan merujuk kepada Shaharudin serta penerbit kita,” ujarnya.
Filem Pendekar Awang Darah Indera Gajah akan mula ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 11 Januari ini.
#PrezCom
Baca lebih banyak artikle di sini :>