Kuala Lumpur, 31 Disember 2023, 11:45 – KIRA-kira 500 penduduk Kampung Setia Jaya, Setapak di ibu kota yang sebelum ini bimbang terpaksa berpindah dalam tempoh 18 bulan untuk memberi laluan kepada pembangunan baharu boleh menarik nafas lega apabila pemilik tanah memberikan jaminan mereka boleh tinggal di situ sehingga isu penempatan diselesaikan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr. Zaliha Mustafa yakin isu melibatkan penduduk Kampung Setia Jaya dengan Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) dapat diselesaikan dengan baik.
Kata Zaliha, beliau menyifatkan perbincangan antara pihak berkepentingan mengenai isu berkenaan positif dan yakin bahawa isu ini dapat diselesaikan dengan baik setelah tertangguh selama lebih 30 tahun.
“Berdasarkan hasil perbincangan tersebut, pihak TAR Education Foundation secara prinsipnya tiada halangan untuk membenarkan penduduk untuk terus berada di Kampung Setia Jaya sementara isu penempatan penduduk diselesaikan.
“Perbincangan turut memberi fokus kepada isu penggantian rumah kepada penduduk dengan solusi yang terbaik yang akan diperincikan dengan lebih lanjut. Perbincangan susulan akan diadakan bagi memastikan isu ini dapat diselesaikan dengan seberapa segera,” katanya.
Ahli Parlimen Wangsa Maju Zahir Hassan berkata, jaminan itu diberikan wakil Yayasan Pendidikan Tunku Abdul Rahman (TAR) Tan Sri Lim Keng Cheng dan Datuk Seri Yew Teong Look ketika rundingan bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa di Putrajaya yang turut dihadiri Setiausaha Politik Kepada Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin.
Menurutnya, wakil Jawatankuasa Penduduk Kampung Setia Jaya turut berada dalam sesi rundingan itu.
“Dalam pertemuan itu kita membincangkan khusus berkenaan keputusan mahkamah terhadap pemilikan tanah Kampung Setia Jaya.
“Sungguhpun mahkamah sudah membuat keputusan supaya penduduk Kampung Setia Jaya keluar dalam masa 18 bulan daripada tarikh keputusan mahkamah tetapi Yayasan Pendidikan TAR secara jelas mengatakan membenarkan penduduk terus tinggal di Kampung Setia Jaya sehingga isu penempatan dapat diselesaikan,” katanya.
Zahir berkata, ketetapan kedua ialah pihak pemilik tanah secara jelas dan terang bersedia untuk memperuntukkan sebahagian daripada tanah untuk pembangunan rumah kepada penduduk asal yang sah di Kampung Setia Jaya.
“Jadi dua ketetapan besar itu saya kira dan yakin akan insya-Allah membawa kelegaan kepada penduduk.Bagaimana kita bergerak selanjutnya nanti akan diperincikan kelak, usahanya adalah memastikan kebajikan penduduk yang sudah terokai kampung ini dari awal.
“Insya-Allah kerajaan bertekad dan Menteri juga bertekad untuk membantu mereka yang sah dan peneroka asal untuk diberi kebajikan yang sewajarnya.
“Beliau jelas dan tegas supaya isu ini diselesaikan sebaik-baiknya dengan situasi menang-menang kepada kedua-dua pihak,” katanya.
Sehubungan itu, katanya, beliau meminta penduduk Kampung Setia Jaya tidak risau dan gusar isu penempatan semula.
“Jangan timbul isu tidur malam tak lena, ingat esok jentolak datang, jangan fikirkan begitu,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penduduk Kampung Setia Jaya, Mohd Asri Sapuan mengucapkan syukur atas keputusan berkenaan.
“Saya mewakili penduduk merasa lega berkaitan dengan keputusan melanjutkan lagi tempoh pengosongan kediaman sehingga penempatan diselesaikan.
“Saya harapkan penduduk jangan gusar dan jangan ada buat tindakan di luar jangkaan atau memberikan tanggapan yang tidak baik kepada rundingan ini.
“Kita tidak mahu apa-apa perkara yang menjejaskan peluang patut dapat dan kita nak juga dapat tinggal di sini dengan tenang tanpa kegusaran,” katanya.
Beliau menasihatkan kepada penduduk Kampung Setia Jaya supaya menemui persatuan penduduk jika mempunyai sebarang pertanyaan dan merujuk kepada pejabat Ahli Parlimen Wangsa Maju.
Sebelum ini penduduk di perkampungan yang berusia 50 tahun itu risau kerana keseluruhan penempatan perlu dikosongkan dan dalam masa sama mereka yang sudah empat generasi menetap di situ berdepan masalah kerana tidak mempunyai tempat tinggal lain. Penduduk juga meminta campur tangan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam isu itu.
Terdahulu, keputusan Mahkamah Tinggi pada 19 Disember lalu tidak memihak kepada penduduk Kampung Setia Jaya dengan memerintahkan semua penduduk untuk mengosongkan tanah itu dalam tempoh 18 bulan.Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memberikan pemilikan Kampung Setia Jaya kepada Kolej Tunku Abdul Rahman (KTAR).
Perkampungan berkenaan sudah diteroka sekitar awal 1970-an oleh peneroka Melayu selari program Buku Hijau disaran kerajaan dipimpin Perdana Menteri ketika itu, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein sehingga dinamakan Kampung Melayu Bumi Hijau (KMBH) sebelum ditukar nama kepada Kampung Setia Jaya.
#PrezCom
Baca lebih banyak artikle di sini :>
KDN Mengerahkan Anggota dan Aset untuk Membantu Mangsa Banjir