Banjir

Kuala Lumpur, 29 Disember 2023, 17:00 – HUJAN yang berterusan di beberapa negeri telah menyebabkan bencana banjir melanda kawasan-kawasan seperti Kelantan, Terengganu, Pahang, dan Sabah. Menyedari kesan buruk banjir ini, Jabatan/Agensi pengurusan banjir di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah segera bergerak untuk menyediakan bantuan dan pertolongan kepada mangsa-mangsa banjir.

Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang memegang tugas dan tanggungjawab utama dalam situasi ini berpandukan Arahan Majlis Keselamatan Negara No.20 (Dasar dan Mekanisme Pengurusan Bencana Negara). Kerjasama erat juga dilakukan dengan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) untuk memastikan tindakan yang berkesan.

Sehingga kini, sejumlah 647 anggota PDRM dan 154 petugas RELA telah dikerahkan dengan sokongan daripada 35 buah bot, 29 buah lori, dan 56 kenderaan pacuan empat roda. Kekuatan ini akan ditingkatkan mengikut keperluan semasa situasi bencana berlangsung.

KDN mengingatkan kepada semua rakyat yang berisiko terkesan akibat banjir untuk sentiasa bersedia menghadapi kemungkinan terburuk. Sentiasa berwaspada dan mengambil langkah sewajarnya adalah penting bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini. Kementerian juga menyeru kepada orang ramai agar patuh kepada arahan pihak berkuasa demi kelancaran operasi bantuan dan penyelamatan mangsa-mangsa banjir.

Dalam keadaan seperti ini, kerjasama dan kesedaran masyarakat amat diperlukan. KDN menegaskan bahawa usaha bersama antara pihak berkuasa dan masyarakat adalah kunci utama dalam menghadapi cabaran banjir yang melibatkan keselamatan dan kesejahteraan bersama. Kami berharap agar semua pihak dapat bersatu padu dalam mengatasi kesan bencana ini dan menyediakan sokongan kepada mereka yang memerlukan.

#PrezCom

Baca lebih banyak artikle di sini :>

Kepung Demi Palestin, Mula Berarak Ke Kedutaan AS