Banjir

Kuala Lumpur, 26 December 2023, 18.40 – SITUASI banjir di negeri-negeri Pantai Timur, iaitu Kelantan, Terengganu, dan Pahang, semakin teruk dengan peningkatan jumlah mangsa yang telah dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).

 

Bagaimanapun di Negeri Sembilan, banjir telah pulih sepenuhnya dengan PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Machang, Lenggeng, Nilai ditutup semalam.

 

Di Kelantan, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 9,721 orang daripada 2,962 keluarga setakat jam 8 malam ini berbanding 1,991 orang daripada 561 keluarga yang direkodkan,

 

Menurut Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Kelantan, sebanyak 65 PPS dibuka melibatkan enam jajahan di negeri itu iaitu Kuala Krai (20), Tanah Merah (19), Pasir Mas (17), Gua Musang (empat), Machang (tiga) dan Jeli (dua).

 

Menurut portal publicinfobanjir.water.gov.my, paras air empat sungai utama di negeri itu iaitu Sungai Kelantan dan Sungai Nal di Kuala Krai, Sungai Golok di Tanah Merah serta Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas berada pada tahap bahaya.

 

Banjir gelombang ketiga di TERENGGANU semakin memburuk apabila jumlah mangsa yang ditempatkan di PPS di enam daerah meningkat kepada 4,294 orang daripada 1,147 keluarga setakat jam 8 malam ini, berbanding 2,281 orang daripada 661 keluarga.

 

Menurut Sekretariat JPBN Terengganu, Dungun menjadi daerah paling terjejas dengan 1,242 mangsa daripada 326 keluarga ditempatkan di 20 PPS, diikuti Besut melibatkan 1,077 mangsa (223 keluarga) berteduh di 12 PPS dan seramai 1,102 mangsa (349 keluarga) ditempatkan di 16 PPS di Hulu Terengganu.

 

Di Kemaman, 439 mangsa (131 keluarga) berada di enam PPS, di Setiu 422 mangsa (115 keluarga) berlindung di 14 PPS manakala di Marang hanya 12 mangsa daripada tiga keluarga masih berada di PPS Dewan Sivik Wakaf Tapai.

 

Portal publicinfobanjir.water.gov.my memaklumkan paras air sungai di 15 stesen utama di negeri ini telah melepasi paras bahaya manakala lima stesen melepasi tahap amaran setakat jam 9.30 malam ini.

 

Di PAHANG, jumlah mangsa banjir turut menunjukkan peningkatan malam ini selepas 600 individu daripada 141 keluarga ditempatkan di 13 PPS berbanding 230 individu daripada 55 keluarga yang berada di lima PPS.

 

Menurut Sekretariat JPBN Pahang sebanyak sembilan PPS telah dibuka di Raub bagi menempatkan 426 orang daripada 106 keluarga manakala seramai 174 mangsa daripada 35 keluarga berlindung di empat PPS yang beroperasi di Lipis.

 

Selain itu, PPS SK Felda Kota Gelanggi 1 di Jerantut yang dibuka semalam bagi menempatkan 78 mangsa daripada 19 keluarga telah ditutup pada jam 11 pagi tadi.

 

Sementara itu, menurut publicinfobanjir.water.gov.my paras air di Sungai Jelai di Bukit Betong, Lipis; Sungai Luit di Kampung Subuh, Maran dan Sungai Keratong di Jalan Kota Bahagia, Rompin sudah melepasi paras bahaya setakat jam 9.30 malam semalam.

#PrezCom

Baca Lebih Banyak Berita:

Perlajar Kolej Ditipu Oleh Sindiket Penipuan Dalam Talian . Kerugian Hampir RM15,000.