Ginekologi

Kuala Lumpur, 17 December 2023, 12:55 – KANSER ginekologi adalah kanser yang membabitkan organ pembiakan wanita iaitu bermula di tempat yang berlainan di pelvis.

 

Semua wanita berisiko mendapat kanser ginekologi. Di Malaysia amnya, kanser serviks menduduki tempat keempat dalam kalangan wanita. Mengikut rekod, kira-kira 1,740 wanita didiagnosis dengan kanser serviks setiap tahun dan 991 daripada kes itu meninggal dunia.

 

Menurut pakar dari Pusat Pengajian Perubatan Fakulti Sains Kesihatan dan Perubatan Taylor’s University, Prof. Madya Dr. Anitha Ponnupillai, kanser ginekologi terdiri daripada kanser serviks, ovari, rahim, faraj, tiub fallopio dan vulva.

 

“Berdasarkan bilangan kes baharu pada 2020, kanser ovari mencatat 7.2 peratus, manakala kanser rahim 5.5 peratus daripada jumlah kes kanser yang dilaporkan.

 

“Kadangkala, kanser boleh timbul daripada plasenta dan dipanggil gestational trophoblastic neoplasia,” katanya.

 

Menyentuh mengenai punca berlakunya kanser ginekologi, Dr. Anitha menyatakan, kanser serviks biasanya disebabkan jangkitan virus papiloma manusia (HPV) berisiko tinggi yang disebarkan melalui hubungan seksual. Kira-kira 80 peratus wanita aktif secara seksual berisiko mendapat jangkitan HPV.

 

“Hubungan seks pada usia awal, hamil sebelum usia 17 tahun, pil perancang oral, merokok, tidak pernah menjalani ujian saringan serviks, human immunodeficiency virus (HIV) atau jangkitan kelamin dan mengambil ubat imunosupresif meningkatkan lagi peluang mereka dijangkiti virus ini.

 

“Kanser vulva dan faraj juga dikaitkan dengan jangkitan HPV.

 

“Selain itu, wanita yang mendapat haid awal dan menopaus lewat (selepas umur 55 tahun), tidak mempunyai anak, obes atau berat badan berlebihan, mengambil makanan berlemak dan mempunyai sejarah keluarga kanser juga lebih berisiko mendapat kanser ovari dan endometrium.

 

“Rawatan kesuburan yang berpanjangan turut meningkatkan risiko kanser ovari.

 

“Kanser tiub fallopio pula dikaitkan dengan jangkitan atau keradangan tiub,” ujarnya.

 

Menurut Dr. Anitha, ujian saringan dapat mengesan kemungkinan seseorang itu menghidap kanser serviks.

KANSER ginekologi merupakan kanser yang membabitkan organ pembiakan wanita. – Gambar hiasan

Biarpun program saringan kanser serviks kebangsaan diamalkan sejak 1969 melalui penyediaan pap smear konvensional, namun liputan dan pengambilan saringan masih rendah. Ini menyebabkan lebih daripada 75 peratus wanita mengalami diagnosis tahap akhir.

 

Katanya, beberapa faktor seperti kurang kesedaran, pengalaman negatif semasa prosedur perubatan, kepercayaan yang menghalang, kekangan sumber, masa dan sokongan sosioekonomi menjadi halangan terhadap pengambilan saringan.

 

Bagi mengatasi halangan dan meningkatkan pengambilan saringan, Yayasan Rose memperkenalkan kit ujian swab kendiri yang tidak menyakitkan dan berkesan bagi mengenal pasti kemungkinan dijangkiti HPV.

 

“Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesyorkan ujian HPV sebagai kaedah saringan pilihan berbanding pap smear dari umur 30 tahun untuk tempoh selang antara lima hingga 10 tahun.

 

“Bagi wanita dijangkiti HIV, ujian HPV disyorkan dari umur 25 tahun dengan tempoh saringan lebih pendek iaitu setiap tiga hingga lima tahun.

 

“Pelancaran ujian HPV dimulakan di Malaysia pada 2019 dengan ujian saringan meliputi wanita berusia 30 hingga 65 tahun,” jelasnya

 

Sesetengah kanser ginekologi seperti kanser ovari dan endometrium tidak mempunyai ujian saringan. Bagaimanapun, pemeriksaan ginekologi tahunan, imbasan ultrasound pelvis, ujian darah untuk penanda tumor dan sampel tisu (biopsi) daripada serviks, lapisan dalam rahim, faraj atau vulva boleh membantu dalam diagnosis awal.

 

Ujian lanjut seperti pemeriksaan imbasan (CT), pengimejan resonans magnetik (MRI) atau PET mungkin diperlukan untuk menilai penyebaran. Antara gejala kanser ginekologi adalah berlaku pendarahan selepas menopaus, haid berpanjangan, haid tidak teratur atau pendarahan selepas persetubuhan, kembung perut dan penurunan berat badan.

 

Sementara itu, rakan sejawat Dr. Anitha dari hospital sama, Dr. Punithavathy Shanmuganathan berkata, rawatan bergantung kepada umur, keinginan kesuburan, jenis dan penyebaran kanser (peringkat) serta status kesihatan umum pesakit. Dalam kebanyakan kes katanya, pembedahan membuang rahim dengan serviks, tiub dan ovari sebagai langkah pertama rawatan.

 

“Kaedah rawatan lain adalah menerusi radioterapi, kemoterapi, terapi hormon, terapi sasaran dan imunoterapi.

 

“Bagi membunuh sel-sel kanser ini, radiasi, ubat anti kanser, hormon, ubat-ubatan yang disasarkan dan penambah imun akan digunakan.

 

“Bagi wanita yang menghidap kanser lanjutan di mana tiada peluang untuk sembuh, rawatan yang sesuai dan penjagaan paliatif masih boleh membantu meningkatkan kualiti hidup.

 

“Kanser serviks boleh dicegah iaitu dengan vaksin HPV dan penggunaan kondom bagi mengekang jangkitan virus,” katanya.

#PrezCom

 

Baca lebih banyak artikle di sini :>

Remaja OKU Berusaha Gigih Untuk Menjadi Pengusaha Minuman Kopi