
Kuala Lumpur, 4 December 2023, 13:02 – MUHAMMAD Ruzayme Mohd. Irwan, 23, seorang remaja OKU, berusaha dengan gigih meletakkan dirinya sebagai salah seorang peniaga dengan menjual kopi.
Dengan menamakan gerainya ‘Creek Coffee’ iaitu tempat di mana dia membina kerjaya sebagai pengusaha kopi dan akan terus mengusahakan perniagaannya itu walaupun terpaksa bertongkat sewaktu membuat jualan.
Pada pandangannya, kekurangan diri bukan satu alasan untuk berdiam diri dan berpeluk tubuh sebaliknya perlu berusaha untuk melakukan sesuatu untuk mempertingkatkan kemahiran diri tidak kira di dalam bidang apa sekali pun.
Ruzayme berkata, kemalangan jalanraya yang dihadapi pada tahun lalu telah menyebabkan dia cacat kerana kaki kirinya daripada paras lutut terpaksa dipotong. Sungguhpun begitu, kecacatan fizikal telah membuatkan dirinya lebih cekal untuk berjaya.
Selepas 3 bulan kakinya dipotong, Ruzayme mengambil keputusan untuk memulakan perniagaan kopi bersama ibu dan bapa saudaranya. Kini, Ruzayme telah mula menjalankan perniagaannya sendiri.
Gerai Creek Coffee miliknya itu terletak di Astaka Taman Haji Mohd Amin di Permatang Pauh bermodalkan wang pampasan insurans dan sedikit wang simpanan kira-kira RM4,000.
Anak sulung daripada 4 adik-beradik ini mendapat dorongan dan semangat daripada keluarga dan rakan-rakan. Sehingga kini mereka tidak pernah berhenti daripada memberi sokongan moral kepadanya.
Ruzayme tidak ketinggalan dalam mengejar ilmu perniagaan daripada program anjuran agensi kerajaan seperti Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dan lain-lain agensi yang menyediakan tapak perniagaan untuk usahawan kecil dan sederhana.
Menurut Ruzayme, keistimewaan air kopi keluarannya itu ialah biji kopi yang digunakan adalah premium iaitu daripada beberapa buah negara pengeluar kopi seperti Peru, Bolivia, Colombia, Ethiopia dan Kenya.
Ruzayme memperolehi bijian kopi tersebut daripada beberapa orang pembekal tempatan. Dia mengisar sendiri bijian kopi tersebut untuk mendapatkan rasa segar dan wangi dan tidak disimpan lama.
Ruzayme berkata, selagi dia berkudrat untuk bergerak, usahanya tidak akan terbatas. Demi kelangsungan hidup, dia akan berusaha dengan keras tanpa meminta simpati daripada sesiapa.
Ruzayme juga bersyukur kerana ada pihak yang sudi membantunya seperti agensi daripada kerajaan dan sahabat handai. Dia kini sedang di dalam proses untuk menerima kaki palsu daripada sebuah hospital di ibu kota.
#PrezCom
Baca Lebih Banyak Berita: