Kuala Lumpur, 14 December 2023, 1.00 petang – PERDANA MENTERI, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pencen pesara penjawat awam tidak berkurangan daripada apa yang telah diterima ketika ini. Malah, kerajaan memberi jaminan akan menokok jumlah pencen pesara penjawat awam supaya tidak kurang daripada pencen yang sepatutnya diterima.
Walaupun ada keputusan mahkamah, kerajaan khususnya Perbendaharaan memberi jaminan akan menokok jumlah pencen tersebut. Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam Sumbangan Kasih Persatuan Alumni Pegawai Tadbir dan Diplomatik (Alumni PTD) dan Yayasan Alumni PTD di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur di sini, malam Rabu.
Mahkamah Persekutuan membatalkan pindaan kepada undang-undang pencen Pada 27 Jun lepas menjadikan pindaan kepada Akta Pelarasan Pencen (Pindaan) 2013 (PAA) itu tidak lagi terpakai kepada pesara kerajaan.
Pada Julai lepas, kerajaan telah memutuskan supaya pencen dan pencen terbitan bagi bulan Julai 2023 hingga Disember 2023 dibayar menggunakan amaun pencen asal. Ini menyaksikan bayaran pencen bagi pegawai awam yang bersara sebelum 2013 dikembalikan kepada amaun Disember 2012, manakala pegawai awam yang bersara mulai 2013 bayaran pencen dikembalikan kepada amaun asal semasa bersara.
Anwar berkata, amaun pencen semasa dengan amaun pencen asal terus dibayar dalam bentuk bantuan khas yang dinamakan sebagai Penghargaan Khas Kepada Pesara (PKKP). Ini bertujuan menjadikan amaun yang diterima oleh pesara sama seperti amaun pencen semasa iaitu amaun pencen pada Jun 2023.
Kerajaan komited meneliti mengenai kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) secara mendalam, namun ia memerlukan sedikit masa. Anwar berkata, SSPA ini sudah cecah 11 tahun belum ada kajian semula. Ini dibuat bukan bermaksud untuk memenangi atau memujuk penjawat awam tetapi perkara itu amat penting memandangkan penyelarasan gaji kakitangan awam sudah melebihi sepuluh tahun tidak diteliti.
Menurut Anwar lagi, disebabkan tidak berlaku kestabilan politik di dalam negara dalam tempoh lima tahun ini, kerajaan yang memerintah tidak berkesempatan untuk memikirkan masalah penjawat awam. Namun kini, Jawatankuasa Semakan Semula Sistem Saraan Perkhidmatan Awam telah wujud, dan sudah tentu ianya akan dapat diatasi.
Di majlis yang sama, Anwar turut meluluskan peruntukan RM500,000 kepada Alumni PTD bagi meneruskan aktiviti persatuan itu dalam membantu memperkukuh pentadbiran dan perkhidmatan awam.
Terdahulu, Presiden Alumni PTD, Tan Sri Abdul Halim Ali ketika berucap pada majlis itu menyuarakan kebimbangan bahawa pencen pesara akan berkurangan pada tahun depan susulan keputusan Mahkamah Persekutuan berkaitan pindaan undang-undang pencen berkenaan.
#PrezCom
Baca Lebih Banyak Berita:
Hapuskan Kerenah Birokrasi, Permudah Urusan Untuk Jalankan Perniagaan – Anwar Ibrahim