Kuala Lumpur, 28 September 2023, 13:45 – PERDANA Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, semakin banyak syarikat mengembangkan operasi di Malaysia atau meningkatkan pelaburan yang sedia ada di negara kita ini. Untuk itu, pihak berkuasa perlu menambah baik urusan bagi menjalankan perniagaan dan menghapuskan kerenah birokrasi.
Anwar berkata, beliau amat kecewa kerana terdapat kes di mana proses membuat keputusan masih lagi lambat dan perkara itu memberi kesan kepada syarikat yang mempunyai perancangan untuk melabur di Malaysia. Menurut Anwar terdapat syarikat yang tampil memberitahu masih lewat dalam memberi kelulusan. Perkara itu sangat mengecewakan beliau kerana pihaknya telah memberi arahan yang jelas tidak mahu ada sebarang kelewatan kerana itu akan merugikan negara. Beliau berkata demikian di sidang media pada akhir lawatan selama 4 hari di New York sempena menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-78.
Tambahnya, Malaysia berada dalam era dan dunia yang sangat kompetitif. Jika penangguhan selama enam bulan dibuat, negara lain akan memberi kelulusan dalam masa dua bulan. Malaysia akan terlepas peluang disebabkan oleh sikap penangguhan tersebut tetapi untuk berlaku adil, Malaysia telah melakukan yang terbaik di sini kerana kakitangan bekerja sepanjang masa untuk memastikan semuanya berjalan lancar dalam pertemuan dengan pelabur.
Arahan telah diberi kepada menteri dan agensi yang berkaitan untuk memastikan semua permohonan diputuskan dengan cepat, termasuk kelulusan untuk pelaburan atau pengeluaran visa. Sebagai contoh, syarikat Aeroangkasa terbesar dunia termasuk Boeing yang telah memiliki kilang mengeluarkan sayap di Malaysia. Syarikat tersebut telah menyatakan hasrat mereka untuk terus mengembangkan sayapnya dalam mengeluarkan bahagian-bahagian pesawat yang lain pula di negara kita.
Beberapa syarikat utama Amerika Syarikat (AS) lain seperti ConocoPhillips, AWS, Google, Airbnb, Amazon, Amazon Web Services, and Kimberly-Clark juga akan mengembangkan operasi mereka atau menyatakan hasrat untuk melebarkan sayap ke Malaysia. Selain itu dua syarikat elektrik dan elektronik utama AS juga turut mengambil langkah yang sama untuk mengembangkan operasi mereka di Malaysia.
Alton Industry Ltd Group (Alton Group) – pembekal global alatan pengguna dan komersial, perkakas dan penjagaan lantai, akan melabur sekurang-kurangnya RM500 juta untuk membuka kemudahan pembuatan serta penyelidikan dan pembangunan (R&D) di Johor.
Anwar memuji Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) kerana telah berkerja keras dalam memberi kejayaan untuk menarik pelabur. Semasa kunjungan Perdana Menteri ke Invest Malaysia New York, beliau juga bertemu Presiden dan Ketua Pegawai Kewangan Google, Ruth Porat, Presiden Global Boeing, Dr Brendan Nelson, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Medtronic, Geoff Martha serta Pengarah Urusan Global Siemens Healthcare, Tisha Boatman untuk berbincang dengan lebih lanjut bagi menyakinkan mereka untuk terus melabur dan menambah apa yang sedia ada di Malaysia sekarang ini.
#PrezCom