Madani

Kuala Lumpur, 8 December 2023, 13:16 – PROGRAM Setahun Bersama Kerajaan Madani yang menyediakan pelbagai program menarik berlangsung di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil selama tiga hari bermula hari ini.

 

Tumpuan pastinya terhadap kaunter pengurangan kadar kompaun saman Polis Diraja Malaysia (PDRM) hingga 50 peratus, kaunter pendaftaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR), kaunter pendaftaran Program Cuti-Cuti Cikgu serta saringan kanser payudara dan kanser serviks yang diberikan secara percuma, selain kempen antigangguan seksual.

Tidak ketinggalan, pengunjung juga berpeluang membeli pelbagai barangan keperluan menerusi Jualan Mega Madani yang melibatkan 226 operator jualan terdiri daripada usahawan, pasar raya besar dan agensi yang menawarkan potongan harga 30 peratus.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, berkata, program selama tiga hari yang dijadualkan berlangsung di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil itu bakal menawarkan informasi terbabit secara terus kepada rakyat melalui reruai pelbagai kementerian.

Beliau berkata, dijangkakan antara 100,000 hingga 200,000 pengunjung menghadiri program itu yang juga menawarkan pengisian mengenai Identiti Digital Nasional atau Digital ID, termasuk berhubung aspek pendaftaran.

“Ini bukan sambutan pesta tetapi lebih kepada hari bersama pelanggan, dan orang ramai dijemput datang nanti. Dalam tempoh setahun pertama pentadbiran, Fahmi berkata, Kerajaan Madani secara amnya telah berjaya mengukuhkan kestabilan politik yang merupakan asas sangat penting apabila tiada berlaku perubahan kerajaan.

Malah, katanya, kerajaan telah mengumumkan beberapa dasar seperti Ekonomi Madani, Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP 2030), peralihan kepada tenaga hijau dan terbaru Kertas Putih Cadangan Dasar Gaji Progresif.

“Sebenarnya dengan mengekalkan kerajaan, ia akan menunjukkan kestabilan politik. Maka, pelabur yakin ringgit semakin kukuh,” katanya.

Bagi tahun kedua pemerintahan pula, beliau berkata, Kerajaan Madani akan memberi tumpuan kepada peningkatan pendapatan rakyat.

“Sama ada ekonomi digital ataupun bagi sektor awam dan swasta, ekonomi akan semakin pulih dan gaji dijangka naik pada 2024,” katanya.

Dalam pada itu, Fahmi berkata, program Saya Digital yang akan turut diadakan di lokasi berkenaan adalah penting untuk memberi kefahaman atau literasi digital kepada orang ramai.

“Sebagai contoh jika menggunakan internet, apa yang perlu kita lakukan untuk menyelamatkan data kita, terutama apabila mengisi borang, bagaimana hendak tahu data kita pergi ke mana… perkara asas seperti data peribadi ini sangat penting. Oleh itu, kerajaan memutuskan untuk semua perkhidmatan kerajaan nanti akan menggunakan Digital ID dengan ada satu kata laluan saja tetapi identiti disahkan melalui Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), kepada semua aplikasi yang dibangunkan kerajaan dan swasta,” katanya.

Majlis perasmian penutupan Program Setahun Bersama Kerajaan Madani bakal disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada 10 Disember ini dengan turut dihadiri kepimpinan tertinggi kerajaan.

Orang ramai yang ingin datang hari ini dinasihatkan agar menggunakan pengangkutan awam untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas memandangkan perlawanan akhir Piala Malaysia 2023 akan diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini, selain Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja Lelaki (JWC) 2023 yang sedang berlangsung sejak 5 Dis.

Program Setahun Bersama Kerajaan Madani diadakan untuk menyebar luas dan mempromosikan dasar dan inisiatif baharu yang diperkenalkan kepada rakyat oleh Kerajaan Perpaduan sejak mengambil alih pentadbiran negara pada 24 Nov tahun lepas.

Ia juga bertujuan meningkatkan kesedaran umum dan kefahaman terhadap hala tuju kerajaan bagi membina kepercayaan serta keyakinan antara kerajaan dengan rakyat melalui kaedah pelaporan pencapaian secara berkala.

#PrezCom

Baca lebih banyak artikle di sini :>

Masyarakat Madani: “Kasihnya Ibu Membawa Ke Syurga”