
Image : Chee Hoi Lan bersama anak angkatnya, Rohana Abdullah, yang dibesarkannya sejak berusia 2 bulan. (Credits: Harian Metro)
Kuala Lumpur, 27 Januari 2023 02:40pm. Islam tidak mengiktiraf perbezaan fizikal dan lahiriah seperti warna kulit, keturunan, pangkat dan etnik sebagai halangan untuk berbuat baik sesama manusia. Terdapat banyak dalil Al-Quran yang menekankan prinsip persamaan dan kasih sayang. Dalam surah Al-Isra’ 17:70 menceritakan bagaimana Allah S.W.T memuliakan cucu Adam seluruhnya dengan tidak mengira bangsa dan golongan.
Ketika perbezaan selalu menjadi halangan dan penyebab kepada berlakunya konflik seorang wanita yang juga seorang ibu berketurunan cina, Chee Hoi Lan, 83 tahun berjaya membesarkan anak angkatnya, Rohana Abdullah, 22 tahun sebagai seorang muslim sejati.
Rohana Abdullah sewaktu usianya 2 bulan telah ditinggalkan oleh ibu kandungnya Salimah Osman, 52 tahun seorang warga Indonesia yang diberitakan tidak dapat terus tinggal di Malaysia kerana tiada permit. Dalam temuramah bersama Kompas.Com Salimah memberitahu: “Saya tidak punya cara lain. Saat itu, Laoshi (Chee) mengatakan kepada saya bahwa dia bersedia menjaga Rohana karena saya tidak punya orang lain di sini,”.. “Saya berterima kasih kepada Laoshi (Chee) karena telah menggantikan saya,” tambahnya.
Perbezaan agama dan latarbelakang ini tidak menghalang Chee Hoi Lan untuk terus mengasuh, menjaga dan memastikan beliau tetap dibesarkan sebagai seorang muslim. Chee Hoi Lan juga berusaha menghantar Rohana ke kelas asas Fardu Ain bagi memastikan Rohana mendapat didikan Islam yang sempurna. Kini, Rohana Abdullah telah berjaya meneruskan pengajian sebagai seorang mahasisawa di Universiti Teknikal Malaysia (UTEM) di Melaka malah ibu angkatnya sering berpesan kepadanya untuk terus berpegang teguh pada ajaran Islam.
Chee Hoi Lan telah dikurniakan Anugerah Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1444 Hijrah/2022 Masihi sekali gus merangkul gelaran Ikon Ibu Sejati. Anugerah itu dikurniakan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1444 Hijrah/2022 Masihi di Pusat Dagangan Dunia.
Semoga kisah ini terus menjadi suatu pemangkin kepada persaudaraan dan perpaduan masyarakat berbilang kaum di Malaysia. Sifat Tasamuh yakni toleransi dalam memberi keadilan kepada semua yang berhak membawa titik noktah untuk kita bersatu dan bersama kearah masyarakat madani.
Artikel Lepas: Kisah Al-Hafiz dan Ang Bee Cheng: “Resepi MembinaMasyarakat Madani”
#MasyarakatMadani
#Prezcom
#Tekad
#TekadBantuRakyat