Peniaga Menjadi Orang Tengah Diantara Syarikat Lori Dan Pegawai JPJ

Kuala Lumpur, 7 December 2023, 11:53 – SEORANG peniaga Norsham Ahmad, 51, didenda RM56,000 oleh Mahkamah Sesyen di Melaka, pada 5 December 2023, selepas mengaku salah menjadi ‘orang tengah’ kepada pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka menerima suapan daripada syarikat-syarikat lori sejak 2017 hingga 2021.

Perkara tersebut dilakukan sebagai galakan bagi mendorong syarikat-syarikat lori dengan cara menjalankan pengaruh peribadi ke atas seorang penjawat awam iaitu pegawai JPJ Melaka untuk tidak mengambil tindakan terhadap lori-lori yang melakukan kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Mengikut fakta kes, peniaga tersebut bersama dua orang pegawai JPJ telah menubuhkan satu sindiket yang diberi nama “Saudagar” bagi menjalankan operasi melindungi lori-lori yang membawa lebihan muatan agar tidak diambil tindakan undang-undang.

Mereka menggunakan logo Pepsi sebagai lambang pengenalan supaya penguatkuasa yang terlibat dapat mengenal pasti lori-lori yang perlu dilepaskan sewaktu pemeriksaan atau sekatan jalan raya kerana membawa lebihan muatan agar tidak dikenakan tindakan undang-undang.

Tertuduh dikatakan telah terjebak di dalam sindiket ini akibat terpengaruh dengan rakan yang juga seorang pegawai JPJ agar menjadi pemain atau agen untuk menjadi orang tengah.

Tertuduh diwakili oleh Peguam Hafizatul Shahirah Jamari dan merayu agar hukuman berbentuk denda rendah diberikan dengan alasan anak guamnya hanya membantu isteri berniaga secara kecil-kecilan dengan pendapatan sekitar RM100 sehingga RM200 sehari.

Selain dari itu, tertuduh yang juga seorang pesakit kencing manis mempunyai tanggungan lain selain isteri iaitu bapa mertua berusia 76 tahun yang menghidap beberapa penyakit termasuk penyakit asma. Mengikut kesemua pertuduhan itu, tertuduh telah menerima suapan wang berjumlah keseluruhan RM34,855 melalui transaksi dalam talian daripada lapan buah syarikat lori.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Asraf Mohamed Tahir bagaimanapun memohon agar hukuman setimpal diberikan sebagai pengajaran terhadap tertuduh dan masyarakat, selain mengambil kira nilai suapan.

Hukuman itu diputuskan oleh Hakim Elesabet Paya Wan terhadap tertuduh yang membuat pengakuan itu sejurus 20 pertuduhan pilihan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah. Selepas mendengar hujah kedua belah pihak, mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda keseluruhan sebanyak RM56,000 atau penjara antara satu sehingga enam bulan, jika gagal membayar.

#PrezCom

Baca Lebih Banyak Berita:

Pemandu Tanpa Lesen Dan Di bawah Umur Bahayakan Pengguna Yang Lain.