Lelaki Perlu Menjaga Hati Wanita Sepenuhnya

Kuala Lumpur, 4 December 2023, 18:13 – LELAKI hari ini lebih berhati-hati dalam melukakan hati wanita kerana ia akan membawa padah yang besar. Sifat gah dan macho yang selama ini menjadi kebanggaan seorang lelaki kini didapati telah meluntur dengan timbulnya berbagai cerita mengenai sebilangan kecil artis dan individu ternama yang telah berkahwin lain.

Luahan seorang pembaca yang mengatakan bahawa kaum lelaki menganggap diri mereka jahat apabila berkahwin lain itu adalah tanggapan mereka sendiri dan tidak pernah dianggap begitu buruk oleh kaum wanita melainkan kaum lelaki itu melanggar peraturan dan lari daripada apa yang sepatutnya mereka lakukan apabila berkahwin dua atau tiga.

Jika dikatakan lelaki adalah golongan yang bijak, itu tidak dinafikan. Tetapi harus diingat bahawa kebijaksanaan yang dimiliki oleh lelaki janganlah disalah gunakan untuk mempermainkan hati wanita atau melukakannya. Apabila berpoligami seharusnya berlaku adil dan cubalah berterus terang dengan isteri pertama daripada melakukan perkara yang lebih buruk dengan menipu atau memukul serta menyeksa kerana tiada dapat keizinan daripada isteri pertama.

Kaum wanita tidak menganggap bahawa poligami itu tidak adil melainkan suami berlaku berat sebelah dari segi tanggungjawab nafkah zahir dan batin. Apabila berlaku ketidakadilan kepada kaum wanita perkara itu akan menjadi kecaman kepada kaum lelaki.

Memang benar apa yang diluahkan oleh pembaca ini mengenai sikap kaum wanita apabila terdengar mengenai poligami yang berlaku tetapi bukan semua wanita berpandangan begitu.

Pembaca ini mengatakan bahawa kuasa wanita tidak boleh diperkecilkan. Wanita berada dimana-mana untuk memerhatikan tingkah laku lelaki. Persoalannya kenapa seorang isteri tidak boleh berada di mana suami berada untuk memerhatikan?

Apa salahnya wanita lain menjadi pemerhati kepada kaum lelaki? Lelaki mudah tergoda dan menggoda walaupun sudah beristeri. Lelaki juga suka menipu apabila berada di hadapan wanita lain.

Jangan disalahkan sikap wanita yang menuntut kepada kesamaan hak dan layanan, tetapi menuntut penghargaan dan maruah. Apa yang wanita tuntut adalah hak mutlak wanita daripada seorang lelaki yang bergelar suami. Dalam agama itu lah perkara yang patut diberi oleh seorang suami kepada seorang wanita yang bergelar isteri.

Pokok pangkalnya adalah sikap suami. Sekiranya mereka pandai menguruskan tanggungjawab sebagai suami dan berlaku adil sudah tentu isteri tidak akan bertindak di luar jangkaan. Wanita tidak mudah terpengaruh dengan perkara-perkaran yang buruk seperti mencederakan suami atau membunuh suami kerana cemburu. Itu bukan sikap wanita.

#PrezCom

Baca Lebih Banyak Berita:

Wanita Kalau Mahu Hidup Terjamin, Cari Harta Dahulu Sebelum Kahwin.