Kalau sebelum ini monopoli syarikat Touch ‘n Go (TnG) di leraikan kali ini monopoli Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) pula dibuka kepada pihak berkelayakan bagi memenuhi hasrat kerajaan untuk mewujudkan persekitaran perkhidmatan yang berdaya saing.

Anthony Loke memaklumkan, PUSPAKOM tidak akan lagi menjadi penyedia tunggal perkhidmatan pemeriksaan berkala kenderaan motor bagi Jabatan Pengankutan Jalan (JPJ) bermula 1 September 2024 dan ini adalah berdasarkan keputusan mesyuarat Kabinet pada 17 Mac lalu yang bersetuju agar perkhidmatan pemeriksaan berkala kenderaan motor dibuka kepada pihak-pihak lain yang berkelayakan. Walaubagaimanapun kerajaan juga turut bersetuju untuk melanjutkan konsesi perjanjian PUSPAKOM yang akan tamat tempoh pada 31 Ogos 2024 selama 15 tahun lagi kerana PUSPAKOM telah menjalankan fungsi pemeriksaan bagi pihak JPJ dengan baik dan memenuhi tahap perkhidmatan yang ditetapkan. Lantaran dari perlanjutan konsesi ini PUSPAKOM di minta membuat pindaan ke atas prosedur dan skop pemeriksaan berkala bagi meningkatkan tahap kualiti dan integriti pemeriksaan seperti memperluaskan elemen automasi dan penggunaan peralatan komputer berteknologi tinggi seperti sensor kamera yang membolehkan pemeriksaan dipantau didalam masa sebenar oleh pengguna atau JPJ secara atas talian. PUSPAKOM juga diminta untuk menambahbaik proses penempahan dan aduan pelanggan selain menambahbaik skop pemeriksaan kenderaan bagi meningkatkan keselamatan di atas jalan terutamanya yang melibatkan kendaran pengankutan awam dan barangan.

Sehubungan dengan itu proses pelawaan bagi pihak-pihak yang berminat untuk menjadi penyedia perkhidmatan pemeriksaan berkala kenderaan motor dijangka akan dibuat pada suku pertama tahun 2024 dan pihak JPJ akan membangunkan beberapa syarat pematuhan sepertai syarat kelayakan, peraturan pengopersian, skop perkhidmatan, penetapan lokasi pemeriksaan dan garis panduan bagi pematuhan standard penyedia perkhidmatan. Anthony Loke juga berkata, “mana-mana pihak yang didapati melanggar apa-apa syarat ditetapkan boleh dikenakan penalti atau dibatalkan hak sebagai penyedia perkhidmatan”.

#PrezCom