Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof yang merujuk kepada program “Projek Artikel 11 Jom Ziarah” anjuran Impact Malaysia di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengeluarkan kenyataan bahawa “Adalah menjadi satu kesalahan di bawah Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan di Kalangan Orang Islam) 1988 untuk mengadakan atau menganjurkan apa-apa program yang bersifat memujuk atau mempengaruhi mana-mana orang Islam untuk cenderung atau minat kepada agama lain dan ianya di larang di Selangor.”

Terdahulu sebelum ini pada 14 Mac lalu Pengerusi Penaja MN Negeri Sembilan, Badrul Hisham Shahrin turut mempersoalkan kenyataan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang didakwa menuduhnya sebagai memfitnah beliau tentang isu program ‘Rekrut bukan Kristian ke Gereja’. Badrul Hisham atau lebih dikenali sebagai Che’GuBard berkata, “Hannah Yeoh, apa yang fitnah? Penganjur program rekrut bukan Kristian ke gereja itu bukan agensi di bawah Kementerian Belia dan Sukan ka?, atau program ajak bukan Kristian itu tak wujud?. Kalau program itu tidak salah kenapa panik hingga agensi bawah KBS itu padam poster ajak belia bukan Kristian ke gereja.?

Setelah dikritik keras di media sosial, Hannah Yeoh mengeluarkan kenyataan memberitahu, katanya: “Berkenaan pendaftaran Jom Ziarah Gereja, pihak kementerian menerusi Impact Malaysia sememangnya tidak akan melibatkan penyertaan belia Muslim dan tidak ada belia Muslim yang akan memasuki gereja ini.”

Program ‘Jom Ziarah Gereja’ yang dianjurkan oleh Impact Malaysia iaitu sebuah Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) masih menjadi kontroversi dan mendapat kecaman pelbagai pihak hari ini kerana iklan dan risalah ‘Jom Ziarah Gereja’ belum di pinda dan tidak menunjukkan siapakah golongan sasar yang jelas bagi program ini. Tan Sri Abdul Aziz hari ini berkata pihaknya sudah sedia maklum tentang kenyataan terbaru Hannah Yeoh itu tetapi program itu yang disifatkan sebagai ‘Evangelist’ bagi sesetengah pihak pada asalnya terbukan kepada semua dan kini dihadkan kepada belia bukan Islam sahaja dan oleh itu risalah program itu perlu dipinda bagi mengelakkan sebarang kekeliruan.

Tan Sri Abdul Aziz juga menegaskan bahawa MAIS menyantuni kesefahaman, toleransi dan perpaduan masyarakat berbilang bangsa di Malaysia dan MAIS juga mengambil pendekatan berhati-hati tentang perkara-perkara yang melibatkan soal akidah umat Islam.

Kawalan pengembangan agama di kalangan orang-orang Islam dilindungan dibawah Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan di Kalangan Orang Islam) 1988 Negeri Selangor di bawah Seksyen 5(1)(c) dan Seksyen 6(1)(b) yang memperuntukan adalah menjadi satu kesalahan mendekati seorang Muslim dan mendedahkan mereka kepada sebarang ucapan atau pertunjukan berkaitan agama bukan Islam.

#PrezCom