Kuala Lumpur, 2 Mac 2023 01:35pm. Keadaan banjir terus memburuk dibeberapa negeri dan kawasan dan sebagai menyantuni mangsa banjir pihak PrezCom cuba memberikan fokus penyampaian maklumat kepada isu-isu banjir dan merehatkan isu-isu politik buat sementara. Sekiranya berpolitik untuk rakyat maka inilah masanya rakyat sedang memerlukan bantuan terutama bagi yang terkesan dengan banjir. Ahli-ahli parlimen dan Yang Berhormat kawasan juga sangat dianjurkan untuk turun bersama menyantuni mangsa-mangsa banjir dan menghulurkan bantuan kepada mereka.
Segamat setakat ini adalah daerah yang paling teruk terjejas semalam dan seramai 2,000 lebih keluarga telah di pindahkan ke 55 pusat pemindahan sementara (PPS). Pusat-pusat pemindahan lain juga sedang sibuk menguruskan perpindahan mangsa dengan Pontian membuka 5 PPS yang sekarang ini menempatkan 58 keluarga, Kota Tinggi 18 PPS yang menempatkan 769 keluarga, Kluang dengan 39 PPS yang menempatkan seramai 1,559 keluarga, Muar dengan 12 PPS yang menempatkan 445 keluarga, Johor Baharu 12 PPS dengan 607 keluarga, Kulai dengan 6 PPS yang menempatkan 242 keluarga, Tangkak dengan 13 PPS yang menempatkan 254 keluarga, Batu Pahat dengan 22 PPS yang menempatkan 883 keluarga dan Mersing 5 PPS yang menempatkan 146 keluarga.
YAB Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Hj. Ahmad Zahid Hamidi bersama Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana (NADMA) dan Ketua Persuruhjaya Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) semalam terus turun padang bagi melihat sendiri keadaan jalan utama ke Segamat yang telah terputus sepenuhnya. YAB Dato’ Seri juga memberitahu pihak Agensi Pengurusan Bencana (NADMA) akan menyelaras pembinaan jambatan ‘Bailey’ dan koordinasi telah buat diantara pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri dan pemasangannya akan dibuat oleh Kor Jurutera Diraja Angkatan Tentera Malaysia. Antara yang terkesan semalam dengan bencana ini adalah seramai 110 pelajar yang sedang mengambil SPM, seorang pesakit dialisis dan seorang ibu yang ingin bersalin. Apapun tindakan pantas pihak NADMA, pihak JKR dan Angkatan Tentera perkara ini dapat di santuni dengan baik.
Tinjaun hari ini 2/3/2023 menunjukkan air mula surut terutama di bandar Segamat tetapi keadaan cuaca mula kembali mendung dan orang ramai dinasihatkan terus berjaga-jaga dan patuhi arahan pihak berkuasa.
Sementara itu di Pahang 26 PPS telah dibuka yang menempatkan seramai 374 keluarga, Negeri Sembilan dengan 10 PPS yang menempatkan 197 keluarga, Sabah dengan 24 keluarga yang ditempatkan di Dewan Mini Kampung Simpang Entilibon di Tongod dan Melaka dengan 3 PPS yang menempatkan 21 keluarga di PPS Sekolah Kebangsaan Asakah, PPS Sekolah Kebangaan Chohong dan PPS Balai Raya Bukit Tambun, Alor Gajah.
#TekadBantuRakyat
#Banjir2023
#PrezCom