Ron 95

 

Kuala Lumpur, 23 JULAI 2024, 21:00 KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur telah mengambil tindakan terhadap sebuah stesen minyak yang didapati menjual minyak RON95 kepada kenderaan dengan nombor pendaftaran asing. Tindakan ini diambil setelah video insiden tersebut tular di media sosial.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri KPDN Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Nurul Syarina Md Anuar, menjelaskan bahawa siasatan dan pemeriksaan telah dilakukan di stesen minyak berkenaan pada jam 5.30 petang, Ahad lalu.

“Hasil semakan mendapati kejadian tersebut berlaku pada jam 5.11 petang, Jumaat, pemeriksaan dan semakan melalui kamera litar tertutup (CCTV) di stesen minyak itu mendapati sebuah kereta Honda warna hitam disyaki bernombor pendaftaran asing tengah membuat pengisian minyak RON95,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Nurul Syarina menyatakan bahawa pemilik kenderaan tersebut membayar secara tunai sebanyak RM100 dan mengisi petrol RON95 sebanyak RM45.

Pemilik itu kemudiannya kembali ke dalam stesen minyak untuk mengambil baki wang dari juruwang yang bertugas ketika kejadian.

Menurutnya, ketika kejadian, pembantu pam yang bertugas dan juruwang di kaunter bayaran dilihat tidak memberikan sebarang teguran atau amaran kepada pemilik kenderaan berkenaan.

Beliau menjelaskan bahawa stesen minyak tersebut disyaki melanggar Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana menjual petrol RON95 kepada kenderaan bernombor pendaftaran asing, yang melanggar Arahan Pengawal Bekalan di bawah Peraturan 12A, Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

KPDN telah menyita resit bayaran, rakaman CCTV ketika kejadian, dan dokumen-dokumen perniagaan untuk membantu siasatan kes ini.

Nurul Syarina menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai sebarang salah laku stesen minyak atau isu berkaitan agar segera membuat aduan atau menyalurkan maklumat kepada pihak KPDN.

“Kami mohon agar perakam video itu tampil bagi membantu siasatan serta melengkapkan siasatan kes,” ujarnya.

Kredit – SHarian

#PrezCom

Baca lebih banyak artikle di sini :>