MITRA

 

Kuala Lumpur, 05 Mei 2024, 12:00 KERAJAAN Perpaduan membuktikan komitmennya terhadap masyarakat India dengan memperuntukkan sebanyak RM30 juta bagi Inisiatif Kemahiran India Malaysia (MISI) KESUMA-MITRA.

Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas Unit Transformasi Masyarakat India (MITRA), P Prabakaran, menyatakan bahawa MISI KESUMA-MITRA adalah hasil kerjasama antara MITRA dan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) untuk meningkatkan transformasi tenaga kerja mahir.

“Peruntukan RM30 juta ini diletakkan di bawah KESUMA dengan pembahagian RM10 juta masing-masing dari KESUMA, MITRA, dan Kementerian Kewangan seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” kata Prabakaran, yang juga merupakan Ahli Parlimen Batu.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas majlis perasmian Pejabat Pakatan Harapan (PH) yang disempurnakan oleh Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, di sini, malam tadi.

Prabakaran menekankan bahawa pengumuman Perdana Menteri ini menunjukkan kesungguhan Kerajaan Perpaduan dalam menangani masalah dan usaha transformasi masyarakat India.

Beliau juga menegaskan bahawa dakwaan pihak tertentu yang mengatakan Kerajaan Perpaduan tidak mengambil peduli masalah kaum India adalah tidak berasas sama sekali.

#PrezCom

Baca lebih banyak artikle di sini :>