
Kuala Lumpur, 03 MAC 2024, 12:00 – HOSPITAL Kuala Lumpur (HKL), telah mencapai prestasi gemilang dengan menjadi satu-satunya hospital di bawah Kementerian Kesihatan (KKM) yang berjaya menempati kedudukan lima teratas dalam ranking Hospital Terbaik di Malaysia Newsweek 2024.
Dalam penarafan yang baru-baru ini diumumkan, HKL berjaya menduduki tempat keempat dengan mencapai skor tinggi sebanyak 87.06 peratus. Kejayaan ini melampaui Pantai Hospital Kuala Lumpur, yang berada di tangga kelima dengan skor 86.99 peratus.
Tempat pertama dalam senarai dipegang oleh Hospitap Gleneagles dengan skor mencapai 89.50 peratus, diikuti oleh Sunway Medical Center (88.84) dan Subang Jaya Medical Center (87.26) pada tempat kedua dan ketiga.
Dalam senarai 30 terbaik yang mewakili hospital di bawah KKM, Hospital Umum Sarawak menduduki tempat ke-22, manakala Hospital Putrajaya menempati kedudukan ke-26.
Proses penilaian skor bagi setiap hospital dilakukan melalui tinjauan dalam talian yang melibatkan lebih daripada 85,000 pakar perubatan, serta data awam daripada pesakit yang memberikan maklum balas selepas menerima rawatan di hospital.
Penilaian ini turut mempertimbangkan aspek-aspek seperti kebersihan hospital, nisbah pesakit dan doktor, serta tinjauan statistik untuk menentukan sama ada hospital menggunakan Ukuran Hasil Dilaporkan Pesakit (PROM). PROM merujuk kepada kajian soal selidik yang diisi oleh pesakit untuk menilai pengalaman dan keputusan mereka.
HKL, yang telah beroperasi selama 154 tahun sejak penubuhannya pada tahun 1870 sebagai hospital daerah, terus berkembang maju.
Dengan 53 jabatan dan unit lain, termasuk Jabatan Pentadbiran dan Kewangan, Jabatan Farmaseutikal, Latihan dan Penyelidikan, 28 buah jabatan klinik, dan 12 klinik perkhidmatan sokongan, HKL dianggap sebagai salah satu hospital terbesar di bawah KKM dan diiktiraf sebagai salah satu yang terbesar di rantau Asia Tenggara.
#PrezCom
Baca lebih banyak artikle di sini :>
Sultan Selangor dukacita kenyataan Hadi Awang terhadap Raja-Raja Melayu