Pencemaran Sungai

 

Kuala Lumpur, 20 Februari 2024, 12:00 – PENCEMARAN Sungai Kulim dan Sungai Air Merah yang disebabkan oleh pelepasan sisa ternakan di perkampungan Sungai Lembu di sini tidak berasal dari ladang babi, sebaliknya dikaitkan dengan ladang itik seperti yang didakwa sebelum ini.

Fahmi Zainol, Pengerusi Agroteknologi, Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi Pulau Pinang, menjelaskan bahawa lawatan ke tapak oleh beberapa agensi berkaitan telah menunjukkan bahawa pelepasan sisa berasal dari ladang itik, bukan ladang babi.

Bagaimanapun, kata beliau, ia tidak memberi kesan secara langsung kepada bekalan air terawat membabitkan kedua-dua negeri sama ada Kedah dan Pulau Pinang.

“Yang viral semalam mengatakan bahawa pencemaran daripada ladang khinzir tapi sebenarnya bukan, kita pergi kedua-dua ladang, ladang yang pertama ladang khinzir dan mendapati bukanlah dari ladang itu tetapi datang dari ladang itik baka bersebelahan dengan ladang tersebut.

“Kita juga mendapati bahawa memang ada ‘direct discharge’ daripada ladang itik seterusnya mengalir ke Sungai Air Merah dan menerusi Sungai Kulim,” katanya.

Hadir sama, Pengarah Perkhidmatan Veterinar Negeri Pulau Pinang, Dr Saira Banu Mohamed Rejab.

Dalam masa sama, Fahmi menegaskan bahawa pelepasan sisa kumbahan itu bagaimanapun tidak memberi kesan terhadap air terawat Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP).

“Tetapi untuk pengguna air khususnya di luar Pulau Pinang dan rakyat Kedah, ianya tidak terkesan. Ia masuk ke Sungai Air Merah dan hanya melintasi garis sempadan negeri Kedah dan Pulau Pinang dan masuk balik ke kawasan negeri Pulau Pinang,” jelasnya.

Beliau menyeru kepada orang ramai agar tidak menyebarkan maklumat tidak tepat yang boleh menimbulkan kebimbangan masyarakat dan menekankan bahawa isu ini melibatkan perkara yang sensitif untuk kedua-dua negeri.

“Saya mengharapkan bahawa masyarakat jangan khuatir dan terus kepada kesimpulan tersebut kerana ianya melibatkan perkara-perkara sensitif untuk dua buah negeri Kedah dengan Pulau Pinang dan juga babi ataupun khinzir haiwan yang sensitif jugalah,”jelasnya.

Sementara itu, Mohd Aklis Azmi, Pegawai Veterinar Jabatan Perkhidmatan Kesihatan Majlis Bandaraya Seberang Perai, mengumumkan bahawa kompaun akan dikenakan kepada pengusaha ladang itik di bawah Akta 171 Akta Kerajaan Tempatan 1976 kerana kesalahan kacau ganggu yang boleh dikenakan hukuman kompaun maksimum sehingga RM1,000 jika sabit kesalahan.

Difahamkan, hasil siasatan turut mendapati, operasi ladang itik membabitkan populasi 100,000 ekor ternakan itu juga tidak memiliki lesen menternak dan sudah beroperasi sejak 15 tahun lepas.

Sebelum ini media melaporkan, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah mengesan berlakunya kegiatan melepaskan sisa ternakan disyaki dari ladang babi di perkampungan Sungai Lembu, Pulau Pinang yang menyebabkan pencemaran Sungai Kulim dan Sungai Air Merah di Kedah.

Pengarah JAS Kedah, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, pemeriksaan lapangan yang dilakukan pegawai penyiasat meliputi kawasan hulu sungai berjaya mengesan aliran air hitam dari Sungai Air Merah mengalir masuk ke Sungai Kulim.

#PrezCom

Baca lebih banyak artikle di sini :>

KKM Pertimbang Kawasan Merokok Bagi Premis Makanan Di Lokasi Sempit