Tenaga Boleh Baharu
Amir Hamzah menyarankan golongan muda untuk memanfaatkan peluang daripada inisiatif kerajaan yang turut mendorong peningkatan peluang pekerjaan dalam sektor tenaga boleh baharu.

 

Kuala Lumpur, 06 Februari 2024, 12:00 – GOLONGAN muda perlu digalakkan untuk menceburi sektor tenaga boleh baharu (TBB)sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan untuk mempercepat peralihan tenaga negara.

Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Menteri Kewangan II, menyarankan agar golongan ini memanfaatkan peluang yang disediakan melalui inisiatif kerajaan yang bertujuan untuk meningkatkan peluang pekerjaan dalam sektor TBB.

Inisiatif ini sejajar dengan komitmen Malaysia untuk mengurangkan impak jejak karbon, dan Amir Hamzah menyatakan bahawa usaha ini sepatutnya diterima baik oleh syarikat-syarikat tempatan.

“Kerajaan memperuntukkan sejumlah RM2 bilion sebagai dana asas untuk Fasiliti Peralihan Tenaga Nasional yang membolehkan syarikat-syarikat mengambil peluang untuk berganjak kepada TBB.

“Usaha kerajaan itu termasuk memberikan akses pembiayaan melalui sistem perbankan yang mana bank-bank memperkenalkan pembiayaan hijau. Pihak bank (terbabit) juga telah memberi komitmen pembiayaan melebihi RM200 bilion bagi menggalakkan peralihan industri kepada ekonomi rendah karbon,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri sesi forum bertajuk “Accelerating Malaysia’s Sustainable Future” sempena program Youth Empowerment Fair 2024 (YEF 2024) di sini, pada Sabtu.

Dalam forum tersebut, Amir Hamzah juga menyentuh usaha Bank Negara Malaysia yang menyediakan dana sebanyak RM892 juta bagi perusahaan mikro, kecil, dan sederhana (PMKS) di bawah Kemudahan Peralihan Rendah Karbon (LCTF) untuk memudahkan mereka beralih kepada model perniagaan yang rendah karbon.

“Secara ringkasnya, kerajaan berusaha dari segi penetapan dasar, menyediakan kemudahan serta insentif, dan seterusnya memastikan pasaran turut melaksanakan (perkara itu),” katanya.

#PrezCom

Baca lebih banyak artikle di sini :>

Akaun Tik Tok kanak-kanak: Perlu Wujudkan Akta Regulasi Platform Media Sosial