Penjawat Awam

 

Kuala Lumpur, 25 Januari 2024, 12:00 – SUATU kaedah baharu bagi lantikan tetap pegawai awam diperkenalkan sebagai langkah strategik untuk mengukuhkan sistem saraan perkhidmatan awam di Malaysia.

Dalam satu surat pekeliling yang bertarikh 15 Januari, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, mengumumkan keputusan ini yang selari dengan komitmen negara dalam menangani isu peningkatan tanggungan pencen.

Menurut Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan, kaedah baharu ini bukan hanya akan memberikan kestabilan kepada sistem saraan perkhidmatan awam, tetapi juga dapat melandaikan tanggungan fiskal negara dalam tempoh jangka masa panjang.

“Kerajaan melalui Mesyuarat Jemaah Menteri pada 12 Julai 2023 telah memutuskan supaya suatu kaedah baharu bagi lantikan tetap pegawai awam diperkenalkan.

“Inisiatif kaedah lantikan baharu tersebut kini sedang dalam fasa pindaan kepada undang-undang berkaitan dan penambahbaikan terhadap kesediaan sistem yang terlibat.

“Susulan penetapan kaedah lantikan tetap baharu tersebut, Jemaah Menteri juga telah bersetuju supaya dalam tempoh peralihan (interim) sebelum penguatkuasaan kaedah tersebut, pengambilan pegawai awam ke perjawatan tetap akan dilaksanakan secara lantikan kontrak (COS) berkuat kuasa tahun ini,” katanya.

Wan Ahmad Dahlan turut menegaskan bahawa kaedah pelaksanaan lantikan kontrak ini akan mengikut peraturan, pekeliling perkhidmatan, dan kaedah semasa yang sedang berkuat kuasa, iaitu MyPPSM Ceraian UP.1.1.1 Prosedur dan Dasar Pelantikan Secara Kontrak (Contract of Service).

“Dalam hal ini, lantikan kontrak yang dimaksudkan adalah lantikan kontrak Objek Sebagai (OS) 11000.

“Sehubungan dengan itu, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) selaku Pihak Berkuasa Melantik (PBM) hendaklah mematuhi dan melaksanakan ketetapan ini berdasarkan peraturan, pekeliling perkhidmatan dan kaedah semasa yang sedang berkuat kuasa,” katanya.

Ujarnya lagi, pelaksanaan pengambilan pegawai baharu secara lantikan kontrak dalam perkhidmatan awam ini berkuat kuasa mulai 1 Februari depan.

Pengambilan secara lantikan kontrak membabitkan penjawat awam bermula 1 Februari ini adalah langkah bersifat sementara ke arah pelaksanaan kaedah baharu lantikan tetap yang melibatkan pindaan akta berkaitan.

#PrezCom

Baca lebih banyak artikle di sini :>