
Kuala Lumpur, 11 Januari 2024, 21:00 – Polis sedang melakukan siasatan menyeluruh untuk mengesan individu yang terlibat dalam insiden kebakaran kediaman dan kenderaan milik Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham, di kediamannya di Ayer Tawar, Manjung awal pagi Rabu.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, mengesahkan bahawa Ibu Pejabat Polis Daerah Manjung menerima panggilan daripada Koo Ham pada jam 2.55 pagi untuk melaporkan kejadian tersebut.
Pemeriksaan di tempat kejadian mendapati kebakaran menyebabkan kereta jenis Mercedes Benz milik Ahli Parlimen itu musnah terbakar.
“Dua lagi kereta mengalami kesan bahang iaitu Honda CR-V pada bahagian bumper belakang serta bahagian badan kenderaan sebelah kanan, manakala Toyota Hilux turut terkesan pada bahagian hadapan.
“Turut ditemui di lokasi kebakaran satu botol disyaki mengandungi molotov cocktail,” katanya mengesahkan kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana khianat menggunakan api.
Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri mengesahkan bahawa ‘molotov cocktail’ dipercayai menjadi punca kebakaran pada tiga kenderaan milik Ahli Parlimen Beruas tersebut.
Beliau memberi jaminan bahawa kes ini akan disiasat dengan teliti dari pelbagai sudut, dan usaha untuk mengesan individu terlibat sedang giat dijalankan.
Beliau juga menasihati orang ramai agar tidak membuat spekulasi yang boleh merosakkan siasatan yang sedang dijalankan.
Orang awam yang mempunyai maklumat boleh menghubungi pegawai penyiasat, Asisten Superintenden Mohd Azalan Ab Karim di talian 019-3927837.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, turut memberikan kenyataan bahawa kenderaan yang terlibat ialah Mercedes, Honda CRV, dan Toyota Hilux.
Beliau menyatakan bahawa pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 3.05 pagi, dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Tawar segera ke lokasi.
Sebelum ini, Ngeh Koo Ham mendapat perhatian meluas selepas mencadangkan penambahan pakar perlembagaan bukan Islam dalam Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dun Untuk Menggubal Undang-Undang Islam.
Walau bagaimanapun, beliau kemudian memohon maaf dan menarik semula cadangannya itu selepas dikritik oleh pelbagai pihak.
#PrezCom
Baca lebih banyak artikle di sini :>
Coway: Jenama Antarabangsa yang Dipercayai Rakyat Malaysia Menghampiri 2 Dekad