Gambar: Kreadit kepada YB Hannah Yeoh.

Kuala Lumpur, 26 Januari 2023 02:37pm. Adakah perbezaan ideologi atau pegangan kepartian menyebabkan kita tidak lagi boleh duduk semeja dan tidak lagi boleh muzakarah? Adakah disebabkan perbezaan ini juga kita semestinya tidak sependapat dan harus sentiasa memandang serong antara satu sama lain?

Terbaru satu hantaran luahan pemimpin DAP, Hannah Yeoh pada 23 January 2023 di Facebooknya yang di nukilkan kepada arwah Dr. Abdul Rani yang juga bekas Persuruhjaya PAS Selangor. Antara bait-bait hantarannya berbunyi begini:

Hannah Yeoh:
1. “Saya menerima berita yang amat mendukacitakan pada pagi hari kedua sambutan Tahun Baharu Cina selepas mengetahui sahabat baik saya telah meninggal dunia”
2. “Sewaktu menziarahi Allahyarham di masjid, kedengaran doa yang dibacakan bercampur-baur dengan tangisan dan berakhir dengan kata-kata ini – “ini hamba Allah yang baik”. Saya menjadi saksi bahawa Dr Rani adalah seorang insan yang baik.
3.” Benar, masakan tidak, setiap kali saya diserang kerana kepercayaan agama saya, beliaulah yang akan meyakinkan saya untuk tidak berasa bimbang. Apabila anak perempuan saya dilahirkan dan diadakan majlis ringkas di gereja, Dr Rani turut menghadirinya.”
4. “Apabila Pakatan Rakyat berpecah, Kami terus kekal berhubung. Malah, saya sempat berjumpa beliau dan makan bersama di Meru tahun lepas. Apabila papan iklan kempen saya dirosakkan baru-baru ini, saya mendapat mesej daripada Dr Rani yang bertanyakan keadaan saya.”
5. “Begitulah bagaimana saya akan mengenangnya. Semasa hayat tuan, ketika mempunyai jawatan ataupun tanpa sebarang jawatan, tuan telah memberikan khidmat bakti terbaik buat rakyat Meru…Terima kasih kerana pernah hadir dalam hidup saya”

Senerio diatas sebenarnya menggambarkan ‘ Tiada Sengketa Antara Kita’.  Walaupun PAS dan DAP tidak lagi bersama tetapi persahabatan antara mereka sebagai sahabat tetap terjalin dengan baik. Inilah yang kita harapkan dan inilah contoh tauladan yang baik.

Senario ‘politik kebencian’ yang masih ada pada hari ini adalah disebabkan oleh ‘nila yang setitik yang merosakkan susu sebelanga’. Isu-isu sengaja disensasikan oleh kumpulan-kumpulan tertentu bagi meniup kebencian dan mendapatkan sokongan. Marilah kita jadikan perbezaan antara kita sebagai satu kekuatan dan bukannya kelemahan. Perbezaanlah yang menyebabkan kita unik dan bukannya alasan untuk berselisih faham.

Sekiranya kita lihat landskap politik hari ini isu ‘rasuah’ dan ‘sedekah’ didendangkan dengan begitu nyaring sekali. Lagunya dialun-alunkan  di media sosial hampir setiap hari dan seolah-oleh masyarakat kita tidak lagi tahu membezakan antara rasuah dan sedekah. Biarlah pihak berkuasa #SPRM menjalankan tugasnya untuk menyiasat dan mengambil tindakan. Untuk saudara kita yang muslim pastinya hukum agama Islam telah jelas meletakkan hukum terhadap rasuah. Hukum rasuah adalah haram berdasarkan Al-Quran, hadis dan kesepakatan (ijma’) ulama. Allah S.W.T telah berfirman yang bermaksud, “Dan janganlah kami makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya)” – Al-Baqarah:188

Untuk melahirkan masyarakat madani ‘formulanya’ mudah; “saling faham-memahami, hormati hak yang lain sebagaimana kita mahu orang lain menghormati hak kita dan sebarkanlah mesej kasih-sayang serta perpaduan”. Kebencian, adu-domba dan fitnah tidak akan membawa generasi akan datang kearah masyarakat madani.

Note: Waga PrezCom mendoakan semoga arwah Dr.Abdul Rani Osman mendapat keredhaan Allah S.W.T, di ampunkan segala dosa dan ditempatkan bersama insan-insan terpilih. Kepada YB Hannah Yeoh semoga terus istiqamah membantu dan menabur bakti. Ameen

#MasyarakatMadani
#Prezcom
#Tekad
#HannahYeoh