
Kuala Lumpur, 16 December 2023, 13:20 – PERSIDANGAN Negara Ahli Kepada Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Ke-28 (UNFCCC-COP28) di Dubai, Emiriah Arab Bersatu, telah bersetuju dengan pakej keputusan iaitu “The UAE Consensus” yang telah dipersetujui secara konsensus oleh semua negara ahli selepas proses rundingan yang diadakan sejak 30 November hingga 12 November 2023.
Antara kandungan utama pakej keputusan tersebut adalah buat pertama kalinya dalam sejarah diplomasi iklim multilateral, negara-negara ahli telah bersetuju agar usaha global untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau dibuat selari dengan laluan 1.5 °C dan mempersetujui buat pertama kalinya agar semua negara ahli untuk melaksanakan peralihan sistem tenaga ke arah mengurangkan kebergantungan terhadap bahan api fosil. Hasrat ini terkandung di bawah agenda “The First Global Stocktake” yang menilai kemajuan dan jurang pelaksanaan Perjanjian Paris.
Di bawah keputusan tersebut, usaha peralihan ini akan dilaksanakan secara adil dan saksama berpandukan prinsip ekuiti, tanggungjawab bersama dengan beban berbeza mengikut keupayaan tersendiri (CBDR-RC) seperti yang termaktub di bawah UNFCCC dan Perjanjian Paris.
Keputusan bersejarah ini menekankan tanggungjawab kolektif untuk melaksanakan tindakan iklim berpandukan keputusan tersebut yang lebih praktikal dengan mengambil kira tahap pembangunan sosio ekonomi dan kemajuan berbeza setiap negara ahli. Walaupun kesemua negara mempunyai hasrat yang sama, perundingan bagi mencapai kata sepakat hanya dapat dicapai di saat akhir dengan setiap negara berkompromi bagi memastikan pakej keputusan tersebut yang mengandungi hasrat tindakan iklim yang lebih bercita tinggi dan praktikal dapat dibuat demi merapatkan jurang pelaksanaan Perjanjian Paris.
Persidangan UNFCCC-COP28 ini juga telah melihat buat julung kalinya sebuah keputusan dicapai pada hari pertama persidangan. Keputusan tersebut merupakan penubuhan Dana Kerugian dan Kerosakan bagi menangani, mengurangkan dan meminimakan kerugian dan kerosakan akibat impak perubahan iklim. Pengoperasian dana ini akan dirundingkan oleh negara-negara ahli di persidangan akan datang dengan mengambil kira impak perubahan iklim yang berbeza serta unik terhadap negara-negara dan komuniti rentan di seluruh dunia, selaras dengan konsep keadilan iklim.
Beberapa negara telah memberikan komitmen sumbangan kewangan kepada tabung ini, yang dianggap sebagai salah satu hasil penting daripada pakej tersebut. Walau bagaimanapun, akses dan pengagihan dana tersebut perlu dibuat dengan cekap dan teratur. Oleh yang demikian, tumpuan utama dalam pengoperasian dana ini adalah mengenai tadbir urus dana ini yang perlu dibuat secara telus. Bagaimanapun, ia masih memerlukan banyak komitmen kewangan dari negara-negara maju.
Berhubung The UAE Consensus, Presiden COP28 dengan tepat menyatakan bahawa negara-negara telah “berkomitmen untuk menyelaraskan tindakan iklim mereka dengan tanda aras 1.5°C… menghadapi realiti… dan menetapkan dunia dalam arah yang betul”. Ia jelas menunjukkan bahawa perjanjian ini mencerminkan kemajuan, tetapi tindakan yang lebih berani diperlukan pada masa akan datang. Perjalanan ke arah masa depan yang mampan dan saksama memerlukan ketekunan berterusan, kerjasama, dan tindakan pantas dari semua negara.
Dalam Kenyataan Malaysia yang disampaikan pada 9 Disember 2023 semasa segmen peringkat tinggi COP28, saya menyebut bahawa semua negara harus menyumbang untuk memerangi perubahan iklim berdasarkan prinsip CBDR-RC. Malaysia telah berjanji untuk mengurangkan intensiti pelepasan gas rumah hijau sebanyak 45% pada tahun 2030 berbanding tahun 2005.
Selanjutnya, Malaysia juga berhasrat untuk mencapai pelepasan gas rumah hijau sifar bersih melalui pelaksanaan Strategi Pembangunan Karbon Rendah Jangka Panjang (LT-LEDS) yang dijangka dimuktamadkan pada awal 2024. Selain itu, di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Kebangsaan (NETR), Malaysia merancang untuk menyahkarbon sektor tenaga dan industri dalam negara dengan meningkatkan sumbangan tenaga boleh diperbaharui dalam kapasiti terpasang tenaga dari 25% kepada 70% pada tahun 2050.
Malaysia telah melaksanakan banyak perkara berkaitan perubahan iklim, dan mampu untuk melaksanakan lebih banyak lagi dan bersedia untuk menyatakan cita-cita yang lebih tinggi dengan sokongan daripada negara-negara maju. Walaupun Malaysia sedar bahawa jalan ke hadapan mungkin mencabar, Malaysia tetap teguh dan bertekad untuk mengemudi laluan transformasi ini.
#PrezCom
Baca lebih banyak artikle di sini :>