Kuala Lumpur, 30 November 2023, 16:23 – KETUA Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat memaklumkan, seorang lelaki berusia 46 tahun telah ditahan bersama-sama 4 lagi suspek termasuk dua warga asing yang berusia antara 26 hingga 54 tahun. Sindiket ini dipercayai didalangi oleh seorang yang bergelar ‘Datuk‘.

Di dalam serbuan operasi khas yang dibuat ke atas sebuah kilang kelmarin. Pasukan Gerakan Am Batalion 5 Simpang Renggam telah menjumpai tempat penyimpanan arak seludup dan lebih memeranjatkan turut dijadikan makmal memproses dadah.

Makmal yang ditemui merupakan sebuah makmal yang dijadikan sebagai tempat memproses dadah jenis ekstasi. Polis merampas 22.84 kilogram (kg) serbuk ekstasi, 2,230 biji pil ekstasi dan 182.9 liter cecair kimia dengan nilai keseluruhan RM1.798 juta.

Turut dirampas, mesin dan peralatan memproses dadah serta ‘precursor’, pelbagai jenis barang kemas, wang tunai mata wang asing dan 10 kenderaan dengan nilai keseluruhan lebih RM3 juta. Modus operandi mereka adalah dengan menjadikan sebahagian kilang di kawasan itu sebagai tempat pemprosesan dan simpanan dadah jenis ekstasi sebelum diedarkan ke pasaran tempatan.

“Sindiket itu memilih kawasan kilang yang berpagar tinggi bagi mengelakkan kegiatan mereka dikesan pihak berkuasa,” katanya sambil memberitahu kegiatan penyeludupan arak tanpa cukai itu beroperasi sejak November 2022 manakala kegiatan memproses dan pengedaran dadah aktif sejak Jun lalu.

Sindiket itu telah menggunakan kilang tersebut untuk menyimpan arak di dalam kontena sebelum dihantar mengikut pesanan di sekitar Johor Bahru. Dalam perkembangan sama, Kamarul Zaman berkata, sejak 1 Januari hingga 27 November lalu pihaknya berjaya menangkap seramai 15,483 orang atas pelbagai kesalahan dadah.

Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967; Seksyen 6 (1)(2) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002); Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 3(1) ADB (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985.

#PrezCom