Yasin bebas

Kuala Lumpur, 30 November 2023, 16:00 – MAHKAMAH Sesyen di sini telah membebaskan penyanyi nasyid dan komposer Muhammad Yasin Sulaiman daripada tiga tuduhan dadah.

Walau bagaimanapun, Hakim Faiz Dziyauddin memerintahkan agar Muhammad Yasin, 48, ditempatkan di Hospital Bahagia Ulu Kinta di bawah penjagaan selamat di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak, untuk tempoh diperkenankan Sultan Selangor.

Dalam mengumumkan keputusan itu, Hakim Faiz Dziyauddin berkata bahawa setelah meneliti keterangan saksi pendakwaan dan pembelaan, mahkamah mendapati bahawa tertuduh telah melakukan perbuatan sebagaimana yang dinyatakan dalam tiga tuduhan itu.

“Mahkamah mendapati tertuduh ada melakukan perbuatan sebagaimana dalam tiga pertuduhan itu tetapi dia dilepas dan dibebaskan atas alasan semasa kejadian pada 24 Mac 2022, Yasin berada dalam keadaan mental yang tidak waras,” katanya.

“Walaupun tertuduh sedar akan sifat perbuatannya, namun gejala mania (emosi tidak stabil) yang dialami ketika itu menyebabkan kemerosotan pada tahap teruk sehingga dia tidak mampu untuk mengetahui bahawa perbuatan itu salah dan bertentangan undang-undang,” tambahnya lagi.

Beliau berkata lagi, mahkamah mengarahkan tertuduh diletakkan di bawah penjagaan selamat di Hospital Bahagia tersebut mengikut Seksyen 348(1) Kanun Prosedur Jenayah (CPC). Menurutnya, dia akan ditempatkan di sana selama tempoh diperkenankan Sultan Selangor sebagai mana diperuntukkan di bawah Seksyen 348(2) CPC.

Mendengar perkara itu, Yasin yang memakai baju T berwarna hitam, menunduk dan kelihatan terkejut sebelum dipeluk anak perempuannya yang berada di galeri awam.

Ahli keluarga Yasin turut menangis sementara ibunya, Suzanah Abdullah, 73, mengucap syukur Alhamdulillah sejurus mahkamah melepas dan membebaskan anak ketiga daripada tujuh beradik daripada tuduhan berkenaan.

Pada 6 Julai tahun lalu, Muhammad Yasin bernasib baik apabila tidak berdepan peruntukan hukuman gantung sampai mati atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 214 gram.

Ia selepas pendakwaan memaklumkan pertuduhan mengedar dadah ditarik balik dan penyanyi dituduh semula atas pertuduhan baharu iaitu memiliki dadah seberat 193.7 gram.

Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah kondominium di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara di sini jam 5.30 petang pada 24 Mac 2022 dan dituduh mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Ia memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun penjara dan tidak kurang 10 sebatan.

Sementara itu, bagi satu lagi pertuduhan, Muhammad Yasin mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menanam 17 pokok dalam pasu plastik berisi tanah yang mana daripadanya kanabis yang diperoleh secara terus atau tidak langsung pada tempat, waktu dan tarikh sama.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 6B(1)(a) ADB 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 6B(3) Akta sama Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada enam kali jika sabit kesalahan.

Muhammad Yasin turut didakwa atas satu lagi pertuduhan dan mengaku tidak bersalah iaitu memberikan dirinya dadah berbahaya jenis 11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9- carboxylic acid di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya, jam 11.05 malam pada tarikh sama.

Bagi kesalahan itu, pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 15 (1)(a) ADB 1952 dan boleh dihukum bawah Seksyen 15 (1) akta yang sama, yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau dikenakan penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.

Dalam kes ini, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin manakala Yasin diwakili peguam, Ariff Azami Hussein.

Pada 15 September, pendakwaan menutup kes selepas memanggil tujuh saksi dalam perbicaraan yang bermula pada 28 Ogos. Seorang saksi pembelaan dipanggil untuk memberi keterangan.

Muhammad Yasin berkata dia bersyukur kerana mahkamah membebaskannya dari tuduhan dadah. “Selama 20 bulan, saya masuk dan keluar mahkamah. Alhamdulillah, hari ini berakhir baik dan saya tidak akan kembali ke sini.”

“Sekarang saya perlu kembali ke (Hospital Bahagia Ulu Kinta) untuk meneruskan rawatan saya untuk gangguan bipolar. Selepas itu, saya akan memohon untuk dibenarkan pulang ke kampung halaman saya,” kata penyanyi itu lagi.

Sementara itu, abang Muhammad Yasin, Zain Sulaiman, 51 tahun, berkata beliau akan terus menyokong adiknya sepanjang tempoh di hospital.

“Jarak bukanlah masalah, yang penting dia mendapat rawatan. Kami tidak bimbang kerana kami tahu dia dijaga dan mendapat rawatan oleh pakar-pakar,” kata Zain yang juga hadir di mahkamah bersama beberapa saudara mara terdekat.

#PrezCom

Baca lebih banyak artikel di sini :>

Galakkan Pelajar Memahami Konflik Israel-Palestin dengan Kesedaran dan Pengetahuan