
Kuala Lumpur, 25 November 2023, 2.25 petang – KITA menyaksikan perubahan kerajaan yang tidak dijangka serta kontroversi dari Pakatan Harapan ke Perikatan Nasional pada Februari 2020. Ramai warga Malaysia merasa tertipu kerana mereka mengundi PH pada pilihanraya umum yang lalu serta tidak memilih PN sebagai kerajaan pemerintah. Banyak perkara yang tidak disangka telah berlaku di dalam arena politik negara kita selepas tumbangnya parti politik yang memerintah lebih dari 60 iaitu parti Barisan Nasional. Wujudnya parti baru oleh bekas-bekas ahli politik negara yang ternama telah menjadikan suasana politik negara dan tanah air serta rakyat menjadi tidak menentu kerana tiada kestabilan politik.
Sepatutnya parti politik yang menjadi pemerintah negara perlu menstabilkan ekonomi dan rakyat. Bukan menambahkan beban rakyat kerana parti politik yang dipilih oleh rakyat perlu menjadi sandaran rakyat dengan corak pemerintahan yang baik, adil dan saksama serta meletakkan agenda rakyat sebagai keutamaan. Bagaimanakah nasib generasi Malaysia dimasa akan datang sekiranya kestabilan politik dan kestabilan ekonomi masih tidak jelas untuk diharapkan?
Pandemik koronavirus yang meletus tanpa disangka turut mengganggu hampir segenap kehidupan kita secara politik, ekonomi serta sosialnya. Tingkah kerajaan PN di dalam menguruskan sidang parlimen jauh dari memuaskan. Sebagai sebuah badan legislatif di dalam demokrasi yang berfungsi, Parlimen merupakan platform bagi wakil yang dilantik rakyat untuk berbicara dan bersuara bagi kawasan mereka. Walau bagaimanapun, kita melihat bagaimana keputusan diambil bagi mengehadkan peranan serta keberkesanan Parlimen seperti sepatutnya. Sidang parlimen selama sehari pada 18 Mei, konon kerana risiko Covid-19, merupakan salah satu contohnya.
Bagi sidang yang sedang berlangsung sekarang, hanya 80 wakil rakyat yang dibenarkan untuk hadir ke Parlimen secara fizikal pada satu-satu waktu, dan sesi perlu berakhir pada 2 petang. Ianya cukup memalukan, kerana banyak negara di seluruh dunia cuba untuk memastikan sidang parlimen untuk berlaku tanpa gangguan, sambil mengambil langkah untuk mengurangkan risiko jangkitan Covid-19.
Di dalam situasi yang malap dan bercelaru, kita masih berasa lega dengan kemunculan anak-anak muda yang berkaliber dan berwawasan, yang akan memainkan peranan di dalam masyarakat serta membawa pembahruan kepada dasar politik negara dan akan turut memberi nafas baharu di dalam sistem pentadbiran negara. kita menyaksikan bagaimana anak muda bangkit di dalam peristiwa serta melibatkan kemampuan yang pelbagai. Parti Solidariti Indonesia digerakkan anak muda Indonesia serta Parti Future Forward yang diharamkan di Thailand merupakan dua contoh.
Penubuhan Malaysian United Democratic Alliance (Muda) oleh Syed Saddiq Syed Abdul Rahman juga mengembalikan harapan bagi anak muda di dalam negara kita walaupun ianya masih awal untuk mengetahui apakah ianya berkesan. Namun, pergerakan anak muda barangkali boleh menjadi atma jiwa dalam mengubati kelelahan politik yang menyelubungi negara kita.
Slain dari Syed Saddiq, kita juga melihat bertapa gigihnya bekas Menteri Kesihatan Malaysia Khairy Jamaluddin yang cuba untuk membentuk pembahruan di dalam politik negara namun ianya terkandas ditengah jalan. Ramai lagi barisan pemimpin anak-anak muda yang cuba membuat penampilan tetapi dilihat seperti terhalang oleh tangan-tangan ghaib yang berada di dalam politik parti sendiri. Bagaimana barisan anak-anak muda ini boleh diizinkan untuk bergerak maju sedangkan mereka seperti dihalang oleh permaianan politik kotor oleh segelintir pemain politik veteran yang gila kuasa dan kedudukan?
Pembentukan parti politik anak muda sudah lama dinantikan. Satu sebab mengapa anak muda dipinggirkan sekian lama adalah kerana struktur politik dominan yang dimiliki kita: di mana personaliti ‘tua’ seringkali diberikan lebih perhatian serta dianggap lebih ‘dipercayai’. Bagaimanapun, ia bukanlah sesuatu yang baru di Malaysia mahupun di Asia Tenggara. Ia turut berlaku diseluruh dunia. Selain Muda, kita juga tidak boleh mengenepikan potensi positif kelompok anak muda, seperti Undi 18, yang cuba untuk menghubungkan jurang di antara ahli politik, pembuat dasar serta anak muda.
Menurut Ketua Pemuda baharu DAP, Dr. Kelvin Yii Lee Wuen, Pemimpin-pemimpin politik muda perlu bersama mengubah persepsi negatif orang muda terhadap politik. Beliau berkata, politik tidak seharusnya dilihat menerusi kanta yang negatif kerana secara asasnya, politik sebenarnya adalah tentang dasar-dasar untuk mengubah kehidupan seseorang ke arah yang lebih baik.
Sehubungan itu, menurut beliau, pemimpin-pemimpin muda mesti menunjukkan teladan yang baik untuk menarik minat orang muda terhadap politik. Jika ditanya apakah itu politik, gambaran pertama yang biasa anak muda fikir adalah ia perkara yang kotor, jijik, rasuah dan pemimpin mementingkan diri sendiri. Jadi kita kena memberi kesedaran kepada anak muda bahawa walaupun kita cakap kita tidak peduli dengan politik, tetapi politik peduli dengan kita,” katanya sebagai ahli panel dalam ‘Sesi Jawab Jujur: Hala Tuju DAPSY’ disiarkan secara langsung di Facebook DAP malam semalam.
Dalam pada itu, Dr. Kelvin yang juga Ahli Parlimen Bandar Kuching berkata, beliau mempunyai satu impian tersendiri untuk melihat politik menjadi ‘bosan’ sekali lagi. Jelasnya, ini kerana apabila berbicara tentang politik pada masa kini, ia menjurus kepada persepsi seperti marah-marah di Parlimen, orang bergaduh-gaduh dan skandal-skandal. Namun begitu tegasnya, itu bukan politik, sebaliknya politik adalah dasar-dasar dan solusi-solusi untuk isu-isu harian yang dekat dengan rakyat.
Beberapa kelompok anak muda Malaysia berjaya mengadakan parlimen olok-olok secara maya, dikenali sebagai Parlimen Digital. Acara ini menyaksikan 222 anak muda Malaysia, mewakili kawasan sebenar, berdebat isu dari cabaran ekonomi sehinggalah keadaan sistem pendidikan nasional. Usaha ini mendapat pujian pelbagai pihak: ramai yang kagum dengan kematangan serta kualiti perdebatannya. Inilah pelapis yang kita harapkan dimasa akan datang. Walaupun penampilan mereka dilihat hanya satu sandiwara, namun ia amat bererti dimasa depan.
Bolehkan anak muda mendominasi politik Malaysia pada tahun 2024 dan tahun-tahun seterusnya? Kita semua percaya mereka boleh, namun perubahan struktural serta persepsi mesti berlaku. Bagi sesebuah sistem politik untuk terwakili, ianya mestilah melibatkan semua bahagian masyarakat. Kita sudah sengsara akibat dari sebuah sistem politik yang tidak inklusif: anak muda kurang terlibat di dalam proses politik, dan sekaligus mengurangkan pengaruh mereka di dalam membuat keputusan melibatkan kehidupan mereka.
Berdekad lamanya, apa yang berlaku adalah anak muda percaya bahawa suara mereka tidak akan didengari ataupun mereka tidak akan diambil serius walaupun suara mereka didengari. Ini memberikan kesan jangka masa panjang, kerana anak muda adalah aset, dan jika kita tidak memberdayakan mereka, kita berisiko untuk mempunyai pimpinan yang lemah mentadbir negara ini. Untuk bergerak ke hadapan, saya percaya kepada strategi bermata dua amat diperlukan. Apa yang diperlukan bukan sekadar peluang dan kepercayaan kepada anak muda dari masyarakat serta pentadbiran, namun anak muda sendiri perlu memberdaya mereka sendiri dengan meluaskan jaringan melibatkan kelompok anak muda yang rencam.
#PrezCom