
Kuala Lumpur, 24 November 2023, 12:24 – DATUK Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian telah membuat cadangan supaya pihak kerajaan dapat memberi sokongan moral kepada golongan lelaki untuk berpoligami bagi menyelesaikan masalah wanita yang lewat berkahwin. Menurut Tuan Ibrahim, beliau bimbang dengan keadaan kaum wanita yang semakin ramai dilihat belum berkahwin pada usia yang agak lewat.
Tuan Man berkata, kaum wanita di Malaysia amat sensitif apabila disebut tentang poligami. Apabila disebut tentang perkara tersebut, ia seolah-olah begitu bersalah seperti melakukan jenayah. Justeru itu, beliau mengajak pihak kerajaan untuk sama-sama berfikir rasional dalam isu ini di mana bagi mereka yang mampu, ada kelayakan, boleh berlaku adil, satu sokongan moral perlu diberi kepada mereka.
Menurut Tuan Ibrahim Tuan Man, terdapat 8.4 juta wanita lewat usia yang belum berkahwin. Walaupun berpoligami itu bukan jalan penyelesaiannya, namun ia mampu memberi jalan keluar terutama kepada berjuta kaum wanita yang masih belum berkahwin. Perkara ini disebut oleh Tuan Ibrahim di dalam Dewan Rakyat. Faktor kewangan menjadi antara punca utama iaitu sebanyak 56 peratus, tiada calon sesuai 18.4 peratus dan kerjaya 9 peratus.
Melalui laporan bancian penduduk pada tahun 2010, Jabatan Perangkaan Malaysia telah menyatakan lebih 5.5 juta lelaki dan wanita berusia lebih 30 tahun telah mengambil keputusan untuk tidak berkahwin ataupun belum berkahwin. Perkara itu telah membimbangkan beliau kerana berkemungkinan bimbang menjadi masalah sosial seperti perkosaan dan terjebak dengan pelacuran.
Terdapat banyak faktor mengapa segelintir wanita tidak mahu berkahwin awal seperti wanita lain. Di antara sebabnya adalah, ingin melanjutkan pelajaran ke tahap lebih tinggi dan tidak mahu mempunyai tanggungjawab lain kerana ia boleh mengganggu tumpuan mereka untuk belajar. Selain daripada ingin melanjutkan pelajaran, wanita tidak mahu berkahwin kerana mereka mahu lebih bersedia di dalam penyediaan rumahtangga seperti mengumpul harta dan mengumpul wang. Sebab yang lain mungkin juga ingin mencari calon suami yang sesuai, stabil dan kaya demi menjamin masa depan mereka.
#PrezCom