
Kuala Lumpur, 22 November 2023, 15:53 – MENTERI Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, Kerajaan Selangor akan meneruskan skim pemberian air percuma kepada rakyat tetapi pada masa yang sama akan mengkaji untuk menaikkan tarif air bagi memastikan operasi pembekalan air bersih dapat dijalankan dengan lancar.
Ini berikutan, semua menteri besar termasuk negeri diperintah Perikatan Nasional (PN) mengakui peningkatan tarif amat penting dalam memastikan kelestarian penyampaian bekalan air tersebut. Menurut Amirudin, negeri Johor merupakan contoh negeri yang berjaya menaikkan tarif tersebut sebelum tahun 2018 setelah menggantikan ribuan paip baharu untuk menggantikan yang lama. Malang bagi negeri Perlis dan Pahang kerana terpaksa menanggung hutang pengurusan air sejak 30 tahun yang lalu dan masih tidak dapat menaikkan tarif air.
Pada sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Perbekalan 2024 di Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini pada Selasa, Amirudin berkata, di samping memberi air secara percuma kepada rakyat negeri Selangor, kerajaan negeri juga sedang mempertimbangkan untuk menaikkan tarif air tersebut. Walau bagaimanapun, beliau dan kerajaan negeri memaklumkan bahawa perbincangan perlu diadakan terlebih dahulu dengan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim serta Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) sebelum tarif air itu dinaikkan.
Program Pemberian Air Percuma yang dilaksanakan kerajaan Selangor sejak 1 Jun 2008, akan dijenamakan sebagai Skim Air Darul Ehsan berkuat kuasa 1 Mac 2020. Menteri Besar Selangor Amirudin Shari dalam kenyataan berkata, keputusan itu berikutan peningkatan jumlah penduduk setiap tahun yang memberi kesan besar kepada kedudukan kewangan negeri. Menerusi Skim Air Darul Ehsan, ia akan menyasarkan kumpulan penduduk dengan pendapatan isi rumah RM4,000 dan ke bawah, bagi pengguna domestik yang mempunyai meter individu.
Manakala, bagi pengguna di pangsapuri kos rendah yang mempunyai meter pukal, syarat kelayakannya adalah sama, namun permohonan mereka perlulah mendapat pengesahan daripada Badan Pengurusan Bersama (JMB) atau Perbadanan Pengurusan (MC). Setiap pemohon hanya layak memohon untuk satu akaun air atau premis sahaja. Skim Air Darul Ehsan itu juga akan dapat menyasarkan golongan memerlukan selain menjamin perbelanjaan subsidi bersasar yang tepat. Selangor merupakan contoh pemberian air percuma yang terbaik. Sehingga kini, pemberian air percuma masih diteruskan dan ia menepati sasaran yang diharapkan oleh kerajaan negeri.
#PrezCom