Kuala Lumpur, 21 November 2023, 11.30 pagi – BEKAS Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata dalam tempoh sebulan yang lalu, dunia menyaksikan rakyat Palestin, doktor dan jururawat bertungkus lumus dan sedaya upaya untuk menyelamatkan nyawa rakyat yang tercedera akibat serangan udara regim Israel. Mereka tidak cuba untuk berlindung dan tidak berganjak dari hospital demi memberi bantuan dan rawatan kepada rakyat yang tercedera walaupun nyawa mereka seolah-olah tergadai dan terdedah kepada kematian. Beliau merasa amat kecewa dengan resolusi Sidang Kemuncak Negara-negara Arab-Islam pada 11 November lepas yang gagal mencadangkan langkah konkrit atau strategik bagi memaksa Israel supaya menghentikan kekejaman ke atas rakyat Palestin.

Apa yang lebih dikesali adalah sikap negara-negara Arab yang kelihatan seperti takut dan tunduk kepada kuasa Amerika dan barat. Pemimpin Islam dan negara-negara Arab seolah-olah telah kehilangan maruah dan redha dengan ejekan kuasa barat yang gembira dengan situasi yang berlaku di Palestin. Pemimpin Islam dan dunia Arab hanya dilihat merayu kepada Israel supaya menghentikan penyembelihan beramai-ramai rakyat Palestin dan tidak bertindak langsung untuk menggesa supaya Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu menghantar tentera pengaman.

Mereka dilihat lebih cenderung untuk memilih jalan selamat dengan enggan mencampuri dan tidak mahu terlibat dengan konflik Palestin dan Israel yang telah lama berlarutan. Mereka hanya membuat rayuan menerusi saluran Diplomatik supaya menghentikan serangan ke atas bumi Palestin tetapi tiada membuat satu penyelesaian yang konkrit. Mungkinkah pemimpin-pemimpin Islam yang begitu kuat menentang Israel suatu masa dahulu sudah mual untuk bersuara dan berusaha sedangkan ada kuasa-kuasa lain yang lebih hebat tetapi tidak mahu bertindak tegas dengan hanya melihat sahaja.

Tun Mahathir berkata, negara-negara yang bersimpati dengan Palestin hanya memperbodohkan diri sendiri dengan hanya berkata-kata dibelakang tetapi begitu takut dengan kata-kata dan tindakan sekutu kuat Israel iaitu Amerika dan kuasa barat. Kecaman dan tindakan ke atas Israel tidak diendahkan langsung oleh mereka kerana ia hanya sebagai ugutan tetapi tiada tindakan sama sekali. Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata, pada usia 98 tahun, beliau telah menyaksikan fasa perubahan dunia, termasuk kekejaman dan kemusnahan akibat tindakan penjajah, kesombongan mereka, serta sikap hipokrit negara berkuasa.Tegasnya, kesombongan dan kebiadaban Israel, serta sikap tidak mempedulikan hak nilai kemanusiaan, melebihi kejahatan penjajah yang lampau.

“Jika hari ini kita menyedari bahawa untuk pemimpin ini, kehidupan orang Palestin tiada nilainya, ia sama seperti kehidupan rakyat Iraq, Afghanistan, Vietnam, Jepun, Korea, Afrika, Ireland, Melayu, India, Orang Asli, juga tiada nilai kepada mereka. Seperti pada masa lalu, semua pelabelan ini hanyalah fasad untuk mengalihkan perhatian seluruh dunia daripada apa yang sebenarnya berlaku, pengembangan imperialism. “Israel sedang bersubahat untuk melaksanakan kemusnahan oleh kuasa Barat, yang tangan mereka berlumuran darah, seperti mana tangan Israel yang berlumuran dengan darah kanak-kanak dan bayi Palestin,” katanya.

Jika negara-negara Islam hanya berpeluk tubuh dan hanya mempu melahirkan simpati sahaja, maka peta negara dan rakyat Palestin akan hilang dari mukabumi ini. Jeritan dan tangisan anak-anak dan wanita Palsetin hanya akan menjadi seperti nyanyian di dalam filem dan drama. Seluruh dunia ada menyaksikan seorang kanak-kanak Palestin meraung meratapi kematian seluruh ahli keluarganya sambil bertanya “ dimana dunia Arab? Dimana orang-orang Arab? Dimana kata-kata gah kamu suatu ketika dahulu untuk melindungi rakyat Palestin? Zaman kanak-kanak mereka diragut begitu kejam oleh Israel dan umat Islam seluruh dunia hanya melihat sahaja tanpa menghulurkan tangan dan senjata untuk menghentikan pembunuhan secara terang oleh regim Israel.

#PrezCom