
Kuala Lumpur, 10 November 2023, 17:07 – MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Sanusi Md Nor, menyalahkan Menteri Pelancongan Seni Dan Budaya, Tiong King Siang, sebagai punca suramnya industri pelancongan di Pulau Langkawi. Sanusi mendakwa komen negatif daripada menteri itu telah menyebabkan terjejasnya kedatangan pelancong di pulau ternama itu. Sanusi tidak mahu membuat sebarang tuduhan, namun tindak tanduk menteri tersebut dilihat mampu memberi kesan yang negatif kepada kerajaan persekutuan.
Menurut Sanusi, hasil daripada pendapatan cukai melalui pelancongan itu, akan diserahkan kepada kerajaan persekutuan, manakala negeri hanya menumpang menjual nasi dan coklat di hotel. Cukai perniagaan dibayar sepenuhnya kepada kerajaan persekutuan sedangkan Kedah hanya memungut cukai pintu sahaja.
Dipetik daripada BH Online selepas mempengerusikan mesyuarat exco di Alor Setar, Sanusi berkata, sekiranya menteri yang berkaitan sendiri memberi publisiti yang negatif terhadap industri pelancongan, beliau berharap menteri tersebut sewajarnya ditukarkan ke kementerian lain. Perkara yang tidak bagus seperti ini perlu diberi perhatian oleh kerajaan persekutuan.
Pada September lalu, menteri terbabit telah menerima rungutan daripada pelancong mengenai larangan memakai seluar pendek dan meminum arak di Langkawi. Disebabkan tidak mahu terus berbalah dengan Sanusi, Ahli Parlimen Bintulu itu mendakwa dia hanya mahu membangkitkan isu tersebut dengan tujuan agar sebarang kelemahan dapat dibaiki.
Menurut Sanusi, beliau tidak memahami tentang isu yang dibangkitkan oleh menteri tersebut dan semakan kerajaan negeri menunjukkan tiada larangan dibuat ke atas pelancong di Langkawi yang mahu memakai seluar pendek atau mengambil alkohol.
Sanusi mahukan supaya Tiong berhenti memberi publisiti buruk tentang Langkawi jika mahu kerajaan negeri memberi kerjasama kepada kementerian.
Sanusi berkata, kenapa begitu iri hati dengan Langkawi? Buat cerita yang bukan-bukan, kerana itu tak ada kebaikan sama sekali. Sanusi mengulas kembali sikap Tiong yang pernah mabuk di khalayak ramai tetapi Tiong segera menafikannya dengan mengatakan tiada salahnya beliau berbuat demikian kerana beliau bukan seorang yang beragama islam.
Menurut Sanusi antara faktor yang menyebabkan pelancong kurang berkunjung ke Langkawi adalah disebabkan penerbangan terus dari beberapa negara kecuali Singapura belum bermula. Katanya, sebelum pandemik Covid-19 melanda, 60 peratus pelancong yang berkunjung ke Langkawi adalah dari luar negara, berbanding 40 peratus pelancong domestik.
Pada masa yang sama, Sanusi mendakwa media sengaja menwujudkan laporan terdapat perniagaan yang “gulung tikar” atau ditutup di Pulau Langkawi.
#PrezCom