Kuala Lumpur, 5 November 2023, 1.33 Tengahari – SEBUAH akhbar tempatan telah membuat tinjaun untuk mendapatkan pendapat umum mengenai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN 3.0) yang sedang didalam rancangan untuk dilangsungkan semula. Tinjauan pendapat BH mengenai Program Latihan Khidmat Negara 3.0 mendapati majoriti daripada pembaca tidak setuju program itu diadakan semula. Seramai 3,112 pembaca BH mengambil bahagian dalam undian menerusi Facebook BH yang mana daripada jumlah tersebut, 67 peratus atau 2,085 orang tidak bersetuju PLKN 3.0 dilaksanakan.

Ahmad Syarif Che Abdullah berkata program itu tidak sesuai ketika ini kerana negara sedang menghadapi kekangan kewangan dan adalah lebih baik jika negara mengutamakan perkara yang lebih penting. Memandangkan ekonomi yang sedang dipulihkan, adalah lebih baik kerajaan menumpukan kepada perkara-perkara keperluan rakyat seperti kebajikan dan memulihkan harga barang. Seorang lagi pembaca iaitu Baharuddin Ahmad Bahar pula berpendapat kerajaan perlu memikirkan program yang lebih menjimatkan serta merangka program alternatif lebih menyeluruh dari segi kepentingan pada warga negara yang terlibat.

Dalam pada itu, seramai 1,027 pembaca BH bersetuju dengan pelaksanaan semula program tersebut namun perlu mengikut kesesuaian umur peserta. PLKN 3.0 perlu diadakan semula untuk mendisiplinkan anak muda masa kini yang dilihat terlalu banyak berseronok dan membuang masa. Perkara yang paling penting adalah membina jatidiri lebih berkualiti serta menerapkan sifat daya tahan dalam kehidupan. Program PLKN 3.0 dilihat lebih sesuai untuk peserta lepasan SPM iaitu sekitar 19 hingga 21 tahun seperti yang dilakukan pada siri sebelum ini. Menerusi tinjauan di laman ‘X’ atau Twitter, 55.5 peratus atau 850 berpendapat PLKN 3.0 perlu dilaksanakan semula berbanding 681 pembaca atau 44.5 peratus yang berpendapat latihan itu tidak perlu dikembalikan.

Kementerian Pertahanan (MINDEF) dalam kenyataannya semalam menjelaskan, hanya remaja yang lahir pada 2007 akan dipanggil menjalani PLKN 3.0 apabila ia dilaksanakan pada tahun hadapan. Ada garis permulaan tahun kelahiran tertentu bagi pelatih untuk memulakan PLKN 3.0 dan sekiranya pelatih yang dipilih tidak dapat menyertai latihan khidmat negara atas sebab yang dibenarkan, mereka boleh memohon penangguhan. Had maksimum untuk menjadi pelatih adalah hingga berusia 35 tahun.

Pada 2018, PLKN telah dimansuhkan sepenuhnya. Tetapi kini kerajaan telah mengambil keputusan untuk mengwujudkan Kembali program latihan ini dengan memberi nafas baharu apabila Kementerian Pertahanan bersetuju meneruskan ‘PLKN 3.0’ dengan kaedah latihan berbeza membabitkan latihan secara beberapa fasa, bermula pada peringkat sekolah hingga ke kem atau pusat latihan terpilih. Pelan awal diumumkan kerajaan, terutama fasiliti dan logistik program memberi gambaran bahawa perancangan lebih baik direncana berbanding siri PLKN sebelum ini, terutama perbelanjaan operasi program.

Ketika dilaksanakan pada 2004, proses latihan sulung PLKN mengambil masa tiga bulan meliputi tiga modul utama, iaitu kenegaraan, pembinaan karakter dan khidmat komuniti. Ia diakui sebagai modul yang mampu membantu meningkatkan keyakinan 85,000 hingga 95,000 lepasan pelajar sekolah ketika itu, sebelum melangkah ke pengajian lebih tinggi. Pastinya, cabaran pada masa kini sudah berbeza berbanding pada 2004, 2015 dan 2018, justeru elemen lebih bersifat menyeluruh dan kompleks perlu diterapkan dalam modul PLKN 3.0. Modul PLKN 3.0 perlu ke arah mempersiapkan remaja supaya menjadi kalis kepada cabaran baharu pada masa depan termasuk literasi kewangan digital, pengetahuan berkaitan kecerdasan pembuatan (AI), kesihatan mental dan keselamatan siber.

Suka atau tidak, kita bukan sahaja mahu melihat warga negara memiliki darah patriotik tinggi semata-mata, bahkan kita mahu meninggalkan legasi tidak lemah dan tidak lembik dalam segenap segi kehidupan. Lebih penting, PLKN 3.0 perlu dibina atas semangat kenegaraan dan kebertanggungjawaban tinggi serta dijauhi daripada sebarang elemen bermotifkan keuntungan politik atau peribadi. Fokus utamanya perlu bertambah segar dan mampu mengatasi cabaran mendatang sekurang-kurangnya untuk tempoh 10 hingga 15 tahun lagi.

DENGAN KEWUJUDAN KEMBALI PROGRAM LATIHAN KHIDMAT NEGARA, BELIA DAN BELIAWANIS NEGARA MALAYSIA AKAN MENJADI GENARASI YANG KUAT DARI SEGI MENTAL DAN FIZIKAL. BERANI MENGHADAPI PEPERANGAN DAN KUAT SEMANGAT JATI DIRI SEWAKTU DI DALAM KESAKITAN.

#PrezCom