Kuala Lumpur, 2 November 2023, 15:35 – KETUA Penyelidik Kumpulan Penyelidikan Kejuruteraan Seismologi dan Gempa Bumi, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Dr Azlan Adnan memberi amaran Malaysia bakal dilanda gempa besar sehingga 7 magnitud susulan siri gempa bumi yang berlaku baru-baru ini. Kawasan Semenanjung dijangkakan boleh berlaku gempa sehingga 6 magnitud sementara di Sabah boleh mencecah 7 magnitude. Itu merupakan pandangan Dr Azlan Adnan terhadap keadaan muka bumi di Malaysia.

Melihat kepada garis sesar besar plat bumi yang bergerak secara pugak di Sumatera misalnya, boleh berlaku gempa kuat sehingga 9.5 magnitud. Gempa yang berlaku di Indonesia dan Jepun mampu mempengaruhi keaktifan Lingkaran Api Pasifik dan seterusnya menambah kemungkinan berlaku gempa di Malaysia tetapi gempa bumi besar di Turkiye dan Syria tidak mempengaruhi berlakunya gempa di Malaysia kerana negara-negara tersebut tidak berada di dalam lingkaran yang sama.

Menurut Pakar Geologi Pusat Kajian Bencana Alam, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Dr Felix Tongkul pula berkata, kejadian gempa bumi besar di Indonesia dan Filipina misalnya tidak menghasilkan pergerakan plat bumi yang signifikan untuk menghasilkan gempa bumi besar di Malaysia. Biasa yang berlaku kebanyakan gempa bumi di Malaysia tertumpu di beberapa lokasi di Sabah dan agak kerap melanda negeri tersebut. Sabah berada pada plat bumi yang kurang stabil dan berdekatan dengan plat bumi yang sama dengan Filipina iaitu berkedudukan tidak stabil.

Lahad Datu, Kunak, Ranau dan Kudat merupakan kawasan yang paling tinggi risiko berlaku gempa bumi yang besar memandangkan gempa bumi kecil yang sentiasa melanda kawasan tersebut. Manakala Semporna, Tawau, Kinabatangan, Sandakan, Beluran dan Pitas dijangkakan akan berlaku gempa bumi sederhana yang agak merbahaya dan kawasan yang didapati rendah bahaya adalah Kota Kinabalu, Tuaran, Kota Belud, Kota Marudu, Telupid dan Tongod. Gegaran gempa bumi kuat yang berpusat di Malaysia pernah berlaku dengan kekuatan 6.0 hingga 6.3 skala Richter di Sabah pada 1923, 1958, 1976 dan 2015, manakala gegaran terkuat di Sarawak berlaku pada 1996 dengan 5.3 skala Richter.

Di Semenanjung Malaysia turut pernah berlaku beberapa gegaran gempa bumi dengan pusat gempa tempatan di Bukit Tinggi di Pahang, Empangan Kenyir di Terengganu, Kuala Pilah di Negeri Sembilan serta Manjung dan Temenggor di Perak dengan julat kekuatan antara 1.6 hingga 4.6 skala Richter yang berlaku pada 1984, 1985, 1987, 2007, 2009, 2010 dan 2013. Sebagai langkah mitigasi jangka panjang, NRECC memaklumkan Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) menjalankan program libat urus dengan pihak berkuasa tempatan dan pihak berkepentingan dalam aplikasi penggunaan peta bahaya seismik. Program kesedaran awam juga dilaksanakan kepada pihak berkuasa negeri, penduduk tempatan dan sekolah yang terdedah kepada ancaman risiko gempa bumi. NRECC turut menyarankan input peta bahaya seismik dirujuk dalam reka bentuk struktur bangunan di Malaysia.

Bagi memantau pergerakan sesar aktif yang berpotensi menyebabkan gempa bumi, NRECC memaklumkan JMG telah memasang enam stesen Penanda Aras Gempa Bumi (PAG) aktif di Sabah dan 54 PAG pasif di enam negeri meliputi 29 stesen PAG pasif di Sabah, Pahang (13), Selangor (6), dan masing-masing dua stesen di Perak, Negeri Sembilan dan Sarawak serta dipantau secara masa nyata. JMG juga telah menerbitkan Peta Bahaya Seismik Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak pada 2019 yang mencirikan zon bahaya bencana seismik berdasarkan ‘Peak Ground Acceleration’ (PGA) yang digunakan sebagai rujukan untuk membuat reka bentuk bangunan yang tahan gegaran gempa bumi.

Menurut NRECC, kejadian gempa bumi kuat yang berlaku di Sumatera, Indonesia berpotensi mengaktifkan sesar-sesar kuno di Semenanjung Malaysia dan kesan gegaran boleh dirasai di beberapa lokasi di pantai barat Semenanjung, dengan magnitud gempa bumi yang boleh terhasil adalah bergantung kepada saiz sesar kuno yang diaktifkan. Bagi Sabah dan Sarawak, kejadian gegaran gempa bumi adalah disebabkan oleh kombinasi pengaktifan sesar kuno akibat daripada himpitan oleh pergerakan tektonik Plat Filipina dan Plat Eurasia serta pergerakan sesar aktif tempatan.

#PrezCom