
Kuala Lumpur, 29 Oktober 2023, 14:00 – PADA 23 Oktober 2023, Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (LPTA) telah membuat pertimbangan untuk mengemas kini syarat lesen operasi Lynas yang sedang berkuat kuasa meliputi kebenaran mengimport bahan mentah yang mengandungi bahan radioaktif semulajadi (NORM) sehingga tamat tempoh sah lesen, iaitu pada Mac 2026.
Menteri Sains,Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Chang Lih Kang berkata, perkara itu diputuskan oleh Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) selepas membuat pertimbangan untuk mengemas kini syarat lesen operasi Lynas yang sedang berkuat kuasa.
Menterinya, Chang Lih Kang berkata, pertimbangan baharu ini akan membenarkan aktiviti cracking and leaching (C&L) diteruskan tertakluk kepada syarat bahawa Lynas hendaklah memastikan kandungan radioaktif dalam residu Water Leach Purification (WLP) di bawah 1 Bq/g melalui program R&D yang diterajui oleh pakar tempatan.
Keputusan LPTA dibuat berdasarkan dapatan kajian awal di peringkat makmal yang menunjukkan bahawa bahan radioaktif thorium boleh diekstrak keluar daripada residu WLP sehingga residu ini boleh dilepaskan daripada kawalan perundangan di bawah Akta 304.
Minggu lalu, Lynas Rare Earths Australia mengumumkan rancangan untuk menutup sementara semua operasinya di Malaysia kecuali kilang pemprosesan karbonat nadir bumi campuran pada Disember.
Syarikat itu berkata, ia akan melaksanakan peningkatan kepada operasi hilirannya di Lynas Malaysia untuk meningkatkan pengeluaran neodymium-praseodymium (NdPr) kepada kira-kira 10,500 tan setahun.
Lih Kang berkata, cadangan untuk mengekstrak torium daripada sisa radioaktif datang daripada Lynas sendiri selepas semakan kehakiman difailkan untuk dua syarat lesen operasinya pada Julai lalu.
“Pengekstrakan torium kini berada di peringkat makmal dan perlu ditingkatkan kepada bentuk perintis dan kemudian kepada pengkomersilan,” katanya.
Beliau juga berkata, syarat yang ditetapkan memenuhi hasrat untuk tidak terus menghasilkan sisa radioaktif serta menyelesaikan masalah sisa sedia ada.
Sebelum ini, rayuan Lynas untuk menggugurkan empat syarat lesen yang ditetapkan AELB ditolak. Selepas pertimbangan dibuat, kerajaan memutuskan untuk menolak rayuan Lynas itu selepas satu sesi pendengaran diadakan pada 28 April lalu bagi mendengar rayuan Lynas berhubung keputusan AELB itu.
Tambah beliau, MOSTI menerusi AELB mengambil masa beberapa bulan untuk mengesahkan sama ada proposal berkenaan boleh dijalankan atau tidak.
“Hasilnya semalam AELB buat keputusan kaedah esktrak torium boleh dilaksanakan.” Ini selaras dengan keputusan AELB sebelum ini tidak membenarkan pengumpulan radio aktif secara berterusan dan mereka (Lynas) perlu menyelesaikan isu radioaktif yang wujud sejak pengoperasian,” katanya.
MOSTI yakin dengan perkembangan ini, operasi berkaitan menepati kawalan perundangan, melindungi kepentingan rakyat dan seterusnya negara akan mampu menarik pelaburan yang berbillion ringgit nilainya dalam industri nadir bumi tempatan bagi menyokong industri pembuatan bahan termaju berteknologi tinggi.
#PrezCom