Kuala Lumpur, 28 Oktober 2023, 11:59 – YANG Berhormat Senator Puan Hajah Fuziah binti Salleh, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), yang mengetuai Delegasi Kementerian pada Misi Pengembangan Perdagangan Francais ke Istanbul, Turkiye telah merasmikan Pavilion Francais Malaysia di Ekspo Be My Franchise Istanbul, Turkiye.

Untuk makluman, sebanyak tujuh (7) jenama Malaysia menyertai Misi Pengembangan Perdagangan Francais Malaysia ke Istanbul, Turkiye iaitu HOME, Laundrybar, Mokti’s, Q-dees, Secret Recipe, UCMAS dan US Pizza. Delegasi ini juga terdiri daripada pegawai-pegawai KPDN dan Persatuan Francais Malaysia (MFA).

Ekspo Be My Franchise yang diadakan di Yenikapi Avrasya Gösteri Ve Sanat Merkezi, Istanbul ini telah berjaya melibatkan penyertaan 50 buah negara bersama lebih 200 jenama tempatan dan antarabangsa. Ekspo ini telah dianjurkan bagi mewujudkan rangkaian perdagangan francais dalam kalangan jenama-jenama yang terdiri daripada pelbagai sektor. Malaysia tidak juga ketinggalan untuk turut serta di dalam pameran ini dengan mengadakan Pavilion Francais Malaysia yang disertai oleh syarikat francais Malaysia.

Bagi tahun 2022, Turkiye adalah merupakan rakan dagang Malaysia yang ketiga terbesar, destinasi eksport terbesar dan sumber import keenam terbesar dalam kalangan 16 Negara Asia Barat. Perdagangan dua hala antara Malaysia dan Turkiye ini juga telah mencatatkan rekod tertinggi setakat ini iaitu berjumlah RM20.25 bilion.

Misi Khas Perniagaan ke Istanbul, Turkiye adalah bertujuan mempromosikan jenama francais tempatan Malaysia dan seterusnya menembusi pasaran di Turkiye yang mempunyai potensi pasaran yang besar. Misi ini melibatkan mesyuarat perniagaan di antara syarikat-syarikat Malaysia bersama pelabur-pelabur serta usahawan tempatan Turkiye bagi kerjasama perniagaan. YB Senator Puan Hajah Fuziah binti Salleh dalam ucapannya juga yakin syarikat-syarikat yang menyertai misi pengembangan perdagangan ke Istanbul, Turkiye ini mampu untuk menarik potensi pelaburan sebanyak RM30 juta bagi syarikat francais Malaysia di dalam tempoh 3 tahun yang akan datang.

Pada lawatan kerja ini juga, YB Timbalan Menteri turut mengadakan pertemuan bersama wakil dari Istanbul Sabiha Gokcen International Airport Investment Development and Operation Inc (ISG) di Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen Istanbul yang dimiliki oleh Syarikat Khazanah Nasional Berhad melalui Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB). MAHB yang memiliki seratus peratus pegangan di dalam ISG adalah pemilik dan pengendali tunggal Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen Istanbul. Pertemuan ini telah berlangsung dengan baik dengan perkongsian maklumat dan kerjasama yang boleh dilaksanakan di masa hadapan bagi kepentingan bersama di dalam perniagaan.

Dalam tempoh yang singkat ini juga, YB Timbalan Menteri akan mengadakan mesyuarat ringkas bersama wakil badan Foreign Economic Relations Board of Turkiye (DEIK) dan wakil persatuan francais di Turkiye iaitu Turkish Franchising 3 Association (UFRAD) bagi membincangkan potensi untuk kerjasama strategik di dalam sektor perdagangan dan perniagaan francais secara khusus yang dapat dilaksanakan di masa hadapan.

Sebelum kembali daripada program lawatan kerja ini, YB Timbalan Menteri juga dijangka mengadakan pertemuan dengan wakil persatuan Tider Food Bank bagi melihat isu-isu berkaitan food bank di Turkiye dan lawatan ke beberapa outlet francais Malaysia di Istanbul serta francais tempatan Turkiye bagi melihat operasi mereka dengan lebih dekat.

#PrezCom